loading...

Friday, August 23, 2013

Empat Sahabat Maut Bertembung Pacuan Empat Roda



Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Ogos 2013

TANAH MERAH: Empat sahabat maut apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Km54.5 Jalan Machang-Jeli berhampiran simpang empat Kampung Bechah Laut, Machang di sini awal pagi Jumaat.



Dalam kejadian kira-kira 4.40 pagi itu, kereta Kancil yang dipandu Fauzairi Mohammad, 22, dari arah Jeli ke Machang terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung Toyota Hilux dipandu bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Terengganu, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh, 46.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Abdul Aziz Mahmud berkata selain Fauzairi dari Kampung Wakaf Beta di Machang, turut maut di tempat kejadian ialah Muhammad Fakhrunizam Ibrahim, 19, dan Mohamad Hafiz Hakimi Mohamed, 24, yang masing-masing berasal dari Kampung Ka'abah, Machang.

Muhammad Noranas Nordin, 20, dari Kampung Wakaf Bata pula meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah manakala Nik Muhammad Zawawi dilaporkan tidak cedera.

"Keempat-empat mangsa tersepit di dalam kereta yang remuk di bahagian depan akibat pertembungan itu. Polis meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Machang untuk mengeluarkan kesemua mangsa," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini.

Abdul Aziz berkata keempat-empat sahabat itu parah di badan dan kepala yang menyebabkan kematian mereka.

Ketika kejadian, Muhammad Fakhrunizam berada di bahagian penumpang depan manakala Mohamad Hafiz dan Muhammad Noranas duduk di bahagian penumpang belakang.

Sementara itu, ibu Muhammad Fakhrunizam, Hasnah Yusoff, 45, berkata anak bongsu daripada empat beradik itu keluar rumah kira-kira 9 malam tadi selepas dihubungi rakan yang mengajaknya ke Kota Baharu.

"Arwah sempat makan malam di rumah bersama kami. Dia kerja kampung, petang semalam baru dapat gaji. Mungkin kawan ajak keluar untuk membeli-belah di Kota Baharu.

"Saya dapat tahu mengenai kemalangan itu kira-kira 5 pagi tadi selepas dihubungi seorang anak saudara dan bergegas ke tempat kejadian," katanya ketika ditemui di Hospital Tanah Merah di sini.

Jenazah keempat-empat mangsa disemadikan di kampung masing-masing pada 5 petang tadi selepas bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Tanah Merah. -BERNAMA

Al-Fatihah

Sumber:
mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2013/8/23/mstar_jenayah/20130823180158&sec=mstar_jenayah
hmetro.com.my/articles/Empatsahabatmaut//Article
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my