loading...

Tuesday, August 20, 2013

Kaki dan kepala akibat tersepit


20 Ogos 2013
BATU PAHAT – “Sakit! tolong keluarkan saya cepat, kaki saya tersepit dan saya tak boleh bergerak,” itulah rintihan pemandu Perodua Kancil yang terlibat dalam kemalangan di Persimpangan Jalan Bindu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, kereta yang dinaiki mangsa berusia 20an bergesel dengan sebuah lori ais sebelum bertembung dengan Perodua Viva dari arah bertentangan.

Menurut saksi kejadian, Razlan Salleh, 38, berkata, ketika kejadian dia yang sedang bekerja di bengkel tepi jalan tersebut terkejut mendengar bunyi brek yang kuat.

“Saya nampak sebuah kenderaan dari arah Tongkang Pechah menghala ke bandar (Batu Pahat) bertembung dengan sebuah lagi kenderaan.

“Saya bergegas ke sana dan mendapati seorang mangsa sedang tersepit di bahagian kakinya dan tak dapat dikeluarkan. Kami terpaksa menunggu pasukan keselamatan walaupun mangsa masih hidup dan mengerang kesakitan.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian cuba membantu mengeluarkan mangsa, namun gagal dan kemudiannya terus menghubungi pasukan bomba,” katanya.

Razlan berkata, kawasan ini memang kerap kemalangan kerana persimpangannya yang mengelirukan.

“Selain itu jalan itu juga banyak rosak dan berlubang yang membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad ketika mengesahkan kejadian berkata, pemandu Perodua kancil tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk menerima rawatan.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan di kaki dan kepala akibat tersepit selepas pertembungan berlaku. Manakala pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan itu juga menyebabkan kesesakan kira-kira dua kilometer akibat keadaan kenderaan yang bertembung remuk teruk.

“Kita menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan tidak memandu laju,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/mangsa-menjerit-minta-tolong-1.193600



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my