loading...
Wednesday, August 21, 2013
Lori ais terbalik
21 Ogos 2013
KOTA – “Kami berdua cemas seketika dan berusaha menyelamatkan diri keluar dari lori apabila lori terbalik di tengah jalan susulan tayar belakang sebelah kanan pancit,” kata pemandu lori muatan ais, Kamal Arifin Ahmad, 48, ketika ditemui di lokasi kemalangan di Kilometer 36, Jalan Seremban-Tampin, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, Kamal dan kelindan lori, Mansor Sahbudin, 57, nekad memanjat keluar melalui pintu sebelah kiri bagi menyelamatkan diri kerana lori mereka terbalik di tengah jalan.
Kamal berkata, mereka bernasib baik kerana ketika kejadian tiada kenderaan lain yang melalui lokasi berkenaan dan terdapat sebuah jentera berat (JCB) yang membantu menolak lori ais yang terbalik ke tepi bagi memastikan lalu lintas tidak terhalang.
“Ketika kejadian kami sebenarnya dalam perjalanan menghantar kira-kira 160 beg berisi ais dari Seremban ke Tampin, namun pesanan ini terlewat beberapa jam kerana kami harus menunggu bantuan lori lain untuk mengangkut pesanan ini.
“Jika diikutkan ini merupakan pengalaman kali pertama saya terbabit dalam kemalangan sejak bekerja sebagai pemandu lori empat tahun lalu. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius susulan insiden ini,” katanya.
Mansor pula berkata, kejadian itu menyebabkan kakinya terkena sebatang kayu yang berada dalam lori berkenaan semasa lori terbalik.
“Walaupun sakit sedikit saya tetap juga berasa sangat bersyukur kerana kemalangan ini hanya membabitkan kami sahaja dan tidak membabitkan kenderaan lain atau kemalangan menjadi lebih buruk lagi, " katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/terbalik-akibat-tayar-pancit-1.194122
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment