loading...

Tuesday, August 20, 2013

2 maut nahas berasingan


Inalillahi wainailaihi rojiun

20 Ogos 2013
KUANTAN – Rengekan Mohd Fazrul Izwan, 2, yang minta dipeluk dan tidak mahu melepaskan ayahnya, Mat Tazam Mamat, 39, keluar rumah seolah-olah petanda bapanya itu akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga buat selamanya.

Mat Tazam maut, manakala anak sulungnya, Nur Fazkriah, 13, cedera parah apabila motosikal dinaiki mereka yang dalam perjalanan ke SMK Baging, dirempuh sebuah Perodua Myvi, kira-kira jam 7 pagi.

Isteri mangsa, Maimunah Mahmud, 30, berkata, anak bongsunya berperangai pelik dan memeluk bapanya dengan erat pada pagi sebelum kejadian.

Menurutnya, tidak lama selepas suami dan anaknya keluar dari rumah di Sungai Ular, dia dikejutkan dengan berita kemalangan mereka berdua.

“Seperti biasa, suami keluar kira-kira jam 6.30 pagi untuk menghantar Fazkriah ke sekolah. Namun, anak bongsu saya berperangai pelik apabila merengek sambil memeluk erat bapanya. Tidak lama selepas suami dan anak keluar rumah, anak saudara memaklumkan kejadian itu.

"Sampai ke lokasi kejadian, saya dapati suami sudah meninggal dunia, manakala anak pula mengalami kecederaan parah termasuk patah paha kanan. Tiada langsung perubahan ditunjukkan arwah suami sehingga pagi tadi,” katanya di pekarangan bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini, semalam.

Maimunah berkata, dia kini kehilangan tempat bergantung apabila suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, meninggal dunia.

“Kami ada empat anak hasil perkahwinan lebih 10 tahun. Dia juga baru sahaja bertukar tempat kerja tiga hari lepas. Saya pula tidak bekerja dan akan tinggal bersama ibu di Sungai Ular,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.



Dalam kejadian berasingan, seorang pelajar tingkatan enam maut dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Jengka Impian menuju ke SMK Jengka Pusat di Jalan Hospital, Bandar Tun Abdul Razak Jengka, pagi semalam.

Pelajar terbabit, Mastura Nabilah Abdul Malik, 18, meninggal di tempat kejadian setelah motosikal ditungganginya dirempuh sebuah Nissan Grand Livina dari arah belakang.

Bapanya, Abdul Malik Shafee, 62, berkata, kebiasaannya dia yang menghantar anak bongsu daripada tujuh beradik itu ke sekolah dengan menaiki kereta, namun pada hari kejadian, anaknya terpaksa pergi sendiri ke sekolah.

"Dia akan pulang lewat kerana membuat urusan sekolah dan saya tidak dapat mengambilnya kerana kerja.

“Namun, saya terkejut apabila kawannya bagi tahu anak saya terlibat dalam kemalangan. Baru pagi tadi (semalam) saya jumpa dia sebelum hendak ke sekolah,” katanya.

Jiran, Mahani Ming, 43, berkata, ibu mangsa, Rohana Aziz, 53, sempat menceritakan detik-detik terakhir arwah sebelum meninggal dunia.

Katanya, pada malam kelmarin, arwah bukan sahaja lebih senyap berbanding biasa, malah turut meminta untuk mengemas rumah dengan mengatakan tiada siapa menolong ibunya selepas ini.

“Arwah turut mengajak ibunya bersiar-siar petang semalam (kelmarin). Arwah kata nanti tiada lagi orang hendak bawa ibunya berjalan-jalan. Malah, arwah beberapa kali beritahu akan ‘pergi’ dahulu sebelum ibunya,” katanya.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Pemangku Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7.20 pagi menyebabkan mangsa meninggal di tempat kejadian dengan kecederaan teruk di seluruh anggota badan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/2-maut-nahas-berasingan-1.193481




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my