loading...
Tuesday, August 20, 2013
Tak sempat mula kerja baru
Inalillahi wainailaihi rojiun
20 Ogos 2013
SEREMBAN - “Nyawa emak diambil sebelum dia sempat memulakan kerja pertamanya hari ini (semalam),” kata Nurul Atikah Taib, 29, anak sulung kepada mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Mambau- Port Dickson, berhampiran susur keluar Taman Kelab Tuanku, Mambau, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5.15 petang itu, mangsa, Badariah Baba, 55, bersama anak keduanya, Khairul ‘Aizat Taib, 27, maut selepas kereta jenis Proton Satria dinaiki mereka hilang kawalan, lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan.
Menurut Nurul Atikah Taib, adiknya dalam perjalanan menghantar emaknya melapor diri ke tempat kerja baru di Seremban 2.
“Emak sudah lama berhenti kerja dan sebelum raya hari itu dia begitu bersungguh-sungguh untuk bekerja. Pada hari Sabtu lalu emak sempat beritahu saya ketika kami jumpa di jamuan hari raya rumah emak saudara, yang dia akan mula bekerja hari ini sebagai tukang masak di Seremban 2.
“Saya gembira melihat dia begitu teruja untuk mula bekerja semula. Sepatutnya dia masuk bekerja waktu pagi, tetapi dia berkeras untuk masuk waktu petang kerana memberi alasan perlu menyiapkan urusan lain,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), dekat sini, semalam.
Menurut Nurul Atikah, ketika kejadian, dia bersama suaminya dalam perjalanan ke Rantau, namun dikejutkan dengan panggilan telefon sepupunya yang memberitahu ibu dan adiknya terlibat dalam kemalangan.
“Sepupu saya kata, dia nampak kereta adik melanggar pokok. Saya segara berpatah balik ke Mambau untuk lihat tempat kemalangan. Luluh hati saya lihat keadaan kereta adik yang remuk teruk.
“Saya tidak sempat lihat keadaan arwah dan bergegas ke hospital dan diberitahu emak dan adik saya telah pun pergi buat selama-lamanya,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap polis berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Bemban.
Bagaimanapun, katanya, sejurus sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu Khairul tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok.
"Kedua-dua mangsa tersepit di dalam kereta yang remuk teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian. Ketika kejadian, keadaan jalan agak licin berikutan hujan lebat,” katanya.
Menurutnya, anggota bomba mengambil masa beberapa minit mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mayat dihantar ke HTJ untuk bedah siasat.
Al-Fatihah
Sumber:
hmetro.com.my/articles/Ajal2beranakrempuhpokok//Article
sinarharian.com.my/edisi/johor/tak-sempat-mula-kerja-baru-1.193635
tv9.com.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment