loading...

Tuesday, August 20, 2013

Kemalangan lagi dalam rawatan

20 Ogos 2013
Alor Gajah: Hasrat seorang wanita yang patah kaki kanan mendapatkan rawatan susulan di sebuah hospital swasta di sekitar ibu kota akibat kemalangan empat bulan lalu terbantut apabila terbabit kemalangan di persimpangan Jalan Durian Tunggal-Ayer Keroh dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Norita Abd Aziz, 54, menaiki kereta Toyota Corolla dipandu suaminya, Kasim Yatim, 54, dari bandar raya Melaka menuju ke Plaza Tol Ayer Keroh.

Difahamkan, kereta dipandu Kasim hilang kawalan apabila kereta saudaranya yang berada di depan brek mengejut selepas melihat sebuah kereta lain keluar melulu dari arah Durian Tunggal.

Sumber berkata, mangsa yang duduk di sebelah tempat duduk penumpang depan terperosok manakala kaki kanan dan kepalanya terhentak.

“Mangsa sepatutnya hadir ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur untuk rawatan susulan akibat kecederaan dialami dalam kemalangan di sekitar ibu kota.

“Difahamkan, mangsa menahan kesakitan hampir 15 minit selepas kaki kanannya yang dimasukkan besi itu beralih dan tersekat di bahagian tempat duduk depan kereta dinaiki.

“Akibat kecederaannya itu, mangsa tersepit di tempat duduk depan namun diselamatkan orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba“ katanya.

Menurut sumber itu, mangsa dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan lanjut.

Saudara mangsa, Aina Hashim, 42, berkata, dia sekeluarga menaiki kereta Perodua Myvi dipandu suaminya, Rahman Ismail, 52, berada di depan kereta mangsa.

“Setibanya di tempat kejadian, sebuah Proton Wira tanpa lampu depan tiba-tiba muncul dari arah Durian Tunggal dan membelok ke kanan menghala ke bandar raya Melaka.

“Kereta itu langsung tidak berhenti di simpang berkenaan malah memotong beberapa kereta yang berhenti di situ,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia berkata, suaminya terpaksa brek mengejut bagi mengelak merempuh kereta itu hingga menyebabkan kereta mangsa merempuh belakang sebelah kiri kereta mereka.

“Sejurus kemalangan, mangsa mengadu tidak dapat menahan sakit pada kaki kanannya yang dimasukkan besi sebelum orang awam membantu dan menghubungi talian kecemasan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap HM berkata, mangsa diberikan rawatan di lokasi kejadian dan dirujuk ke hospital berkenaan selepas mengadu besi di dalam kaki kanannya tertusuk ke tulangnya.

Ketua Polis Daerah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Duakalimalang/Article/index_html




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my