loading...

Thursday, June 27, 2013

Pensyarah UiTM maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

27 Jun 2013
TERACHI – Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Negeri Sembilan maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, lalu terjatuh dan diseret beberapa meter di Kilometer 28.5 Jalan Seremban - Kuala Pilah, dekat sini, semalam.

Kawasaki Versys 650 terbakar dalam kemalangan

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu turut menyebabkan mangsa, Dr. Abd Aziz Sabran, 35, dari Fakulti Pertanian dan Agroteknologi, Kampus UiTM Kuala Pilah, melecur teruk apabila motosikal jenis Kawasaki 250 cc terbakar akibat tangki petrol pecah.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Nilai dan melalui Seremban untuk ke tempat kerjanya di UiTM Beting, dekat sini.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya dengan memasuki laluan bertentangan lalu bergesel dengan sebuah Toyota Hilux dari arah bertentangan.

"Pemandu Hilux berusia 57 tahun itu bagaimanapun tidak sempat mengelak motosikal mangsa sehingga menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh dan terseret atas jalan raya beberapa meter dan terbakar," katanya.

Menurutnya, Dr Abd Aziz mengalami kecederaan di pipi, dada dan peha akibat disambar api sebelum anggota bomba tiba memadamkan kebaka-ran. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini untuk dibedah siasat dan kes ini disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, pemandu pacuan empat roda berkenaan dalam perjalanan dari arah Perkampungan Orang Asli Langkap menuju ke Klinik Kesihatan Terachi untuk menghantar anak perempuannya ke tempat kerja.

"Pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, penumpang Hilux, Rosliani Singgah, 26, berkata, sebelum kejadian, dia ternampak motosikal ditunggang mangsa meluru laju dan memotong kenderaan di hadapannya.

Bagaimanapun, katanya, motosikal mangsa kemudian bergesel dengan kenderaan dipandu bapanya, Firdaus Singgah Sulim Abdullah, 57.

"Ayah memang tidak sempat mengelak dan terlanggar mangsa. Motosikal mangsa terseret beberapa meter. Saya nampak percikan api pada motosikal mangsa sebelum ia terbakar," katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Jamaliah Samsudin, 52, yang tinggal berdekatan kawasan kejadian berkata, dia terkejut terdengar dentuman kuat sebanyak dua kali di luar rumanya, sebelum melihat seorang penunggang motosikal terbaring.

"Saya terkejut melihat mangsa terbaring atas jalan raya. Motosikalnya terbakar dan api menyambar muka, badan dan peha mangsa. Waktu itu, saya lihat mangsa sudah tidak bergerak lagi, mungkin sudah meninggal dunia, sebelum anggota bomba tiba membantu memadamkan api," katanya.

Dalam pada itu, rakan mangsa, Baharin Kasim, 34, berkata, Allahyarham Dr Abd Aziz dijadualkan akan berpindah ke Melaka, Januari tahun depan.

"Memang arwah sibuk membuat persiapan untuk pindah ke Melaka. Kami kenal arwah sejak tiga tahun lalu dan dia seorang baik. Keluarganya juga saya kenal dan kini isterinya sedang mengandung anak keempat," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pensyarah-uitm-maut-nahas-1.176388
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my