loading...

Wednesday, June 26, 2013

Dua remaja maut terperosok bawah lori



26 Jun 2013
PARIT BUNTAR - Keterujaan enam remaja meronda kampung dengan menunggang motosikal bertukar tragedi apabila dua daripadanya maut setelah terperosok di bawah sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 2, Jalan Sungai Kota-Tanjung Piandang di sini, semalam.

Dalam kejadian lebih kurang jam 12 tengah malam itu, mangsa, Mohd Amirul Ismail, 18, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss bersama seorang lagi mangsa, Munhaimin Mazlan, 16, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bagan Utara, Tanjung Piandang setelah selesai mengelilingi kawasan Sungai Bakau bersama empat rakan lain.

Saksi, Mohd Fahmi Ahmad Fauzi, 16, berkata, ketika itu, motosikal ditunggang kedua-dua mangsa berada di belakang motosikal ditunggangnya dan sebuah motosikal lain sebelum Mohd Amirul dilihat memalingkan kepalanya ke belakang.

“Saya sempat melihat Mohd Amirul memalingkan kepalanya ke belakang seolah-olah melihat sesuatu, sedangkan saya mendapati tiada kenderaan di belakangnya.

“Sejurus selepas itu, tiba-tiba saya mendengar bunyi dentuman kuat dan mendapati Mohd Amirul serta Muhaimin kemalangan, tubuh kedua-dua mereka terperosok di bawah sebuah lori pegun,” katanya.

Mohd Fahmi berkata, dia bersama tiga rakan lain segera berpatah balik ke lokasi kejadian dan mendapati kedua-dua mangsa sudah tidak bergerak atau bernafas.

“Kami mendapati kedua-dua mangsa cedera di kepala dan badan selain melihat darah mengalir di tengah jalan.

“Kami yakin Mohd Amirul tidak menyedari kewujudan lori yang diletakkan di bahu jalan kerana dia memalingkan kepala ke belakang dalam jarak yang jauh,” katanya.

Mohd Fahmi berkata, sebelum kejadian, mereka melepak di sebuah pondok di rumah Mohd Amirul lebih kurang jam 11 malam sebelum mangsa mengajak untuk meronda kampung.

Sementara itu, adik Mohd Amirul, Mohd Samsul Ismail, 14, berkata, sebelum kejadian berlaku, dia dan arwah melepak bersama rakan lain di sebuah pondok di rumahnya.

Jelasnya, Mohd Amirul yang bekerja sebagai pemandu lori kemudian bersikap luar biasa apabila bersungguh-sungguh mengajak rakannya meronda kampung.

“Saya tidak sangka keterujaan abang untuk keluar meronda bersama rakannya merupakan saat terakhir bersama kami’,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Mat Fauzi Nayan mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa  menyertai konvoi bermotosikal bersama empat rakan lain sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.

“Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Polis mengesyaki mangsa tidak menyedari kewujudan sebuah lori,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/dua-remaja-maut-bawah-lori-1.175901



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my