loading...

Friday, June 28, 2013

Parah dirempuh dari belakang


29 Jun 2013
KULIM - Hasrat seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berusia 50 tahun untuk menjalankan tugasnya di sebuah kilang tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan, kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss datang dari arah lampu isyarat Taman Selasih menuju ke Keladi.

Bagaimanapun apabila tiba di kawasan perindustrian ringan Taman Selasih, mangsa membelok masuk ke lorong sebelah kanan mengakibatkan motosikal jenis Honda EX5 yang berada di belakangnya merempuh mangsa.

Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak ke tepi jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kanan.

Difahamkan, apabila mendapati orang ramai mula mengerumuni tempat kejadian, dalam keadaan berlumuran darah mangsa tetap cuba bangun dan menolak motosikalnya ke kawasan kilang tempatnya bekerja yang  terletak berhampiran lokasi insiden tersebut.

Polis dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Balai Polis Kulim kemudiannya menghubungi Hospital Kulim untuk mendapatkan bantuan ambulans, manakala kedua-dua mangsa terlibat dihantar ke hospital untuk menerima rawatan dan keadaan mereka dikatakan stabil.

Seorang lagi mangsa dikatakan hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh menasihatkan penunggang motosikal supaya menggunakan lampu isyarat motosikal mereka  sekiranya mahu membelok.

Menurutnya, kegagalan mereka berbuat demikian boleh mengakibatkan motosikal ditunggang boleh dirempuh oleh kenderaan yang datang dari belakang atau hadapan.

“Kelalaian seperti ini yang menyumbang kepada kemalangan maut, penunggang motosikal harus peka dan jangan cuai ketika menunggang motosikal. Sesaat kecuaian mereka lakukan boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/parah-dirempuh-dari-belakang-1.177087




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my