loading...
Thursday, June 27, 2013
Pemandu Lori maut, anak cedera
Inalillahi wainailaihi rojiun
27 Jun 2013
JELAPANG – Seorang pemandu lori maut manakala anaknya cedera ringan selepas kenderaan yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori membawa muatan plaster siling di Kilometer 264.5, Lebuhraya Utara – Selatan arah Kuala Lumpur di sini, kelmarin.
Dalam nahas kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Md Rajab Ismail, 56, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di badan.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, dalam kejadian itu, anak mangsa, Saiful Bahari, 21 yang juga kelindan lori terbabit cedera ringan.
“Kemalangan itu berlaku di lorong perlahan (kiri) dan semasa kejadian, kawasan persekitaran gelap tanpa lampu serta cuaca baik dan aliran trafik tidak sibuk.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan anak mangsa juga menerima rawatan di hospital sama,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, pemandu lori muatan plaster siling, Ooi Chin Chua, 59, ketika ditemui berkata, lori mangsa merempuh bahagian belakang lorinya ketika menuruni bukit di laluan berkenaan.
Menurutnya, lori yang dipandu mangsa mungkin mengalami masalah brek dan menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaan tersebut lalu merempuh kenderaan di hadapannya.
“Saya terpaksa mengawal kenderaan saya dan perlahan-lahan berhenti di tepi jalan selepas secara tiba-tiba mendengar bunyi dentuman kuat dari bahagian belakang.
“Saya bernasib baik kerana dapat kawal kenderaan, Kalau saya tak dapat kawal, mungkin keadaan saya pun akan jadi teruk juga,” katanya kepada Sinar Harian di tempat kejadian, malam kelmarin.
Chin Chua yang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam perjalanan dari Bukit Kayu Hitam ke Johor dan lorinya membawa muatan plaster siling.
Dalam pada itu, lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh mengambil masa hampir 25 minit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang sudah disahkan meninggal dunia sebelum dikeluarkan.
Menurut Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Faizal Abdul Rahman, Bomba terpaksa menggunakan beberapa peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.
“Mangsa tersepit agak teruk kerana impak perlanggaran yang kuat dengan kenderaan di hadapan. Kita terpaksa menggunakan alat pemotong dan alat lain untuk keluarkan mangsa.
“Walaupun sukar, kita berjaya juga mengeluarkan mangsa namun mangsa sudah meninggal dunia sewaktu kami cuba mengeluarkkan badannya,” ujarnya.
Kemalangan malam kelmarin itu menyebabkan kesesakan jalan sepanjang hampir dua kilometer dari arah Kuala Kangsar menghala ke Ipoh.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/bapa-maut-anak-cedera-1.176463
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment