loading...

Tuesday, June 25, 2013

Hati-hati memandu ketika Jerebu


25 Jun 2013
PEKAN – Masalah jerebu yang semakin serius sekarang boleh menjadi penyebab kepada pelbagai masalah lain antaranya peningkatan kadar kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, masalah jerebu bukan sahaja boleh mengganggu kesihatan, tetapi juga pelbagai risiko lain antaranya kemalangan dan jenayah.

Bagaimanapun katanya, masalah itu boleh diatasi jika masyarakat lebih berhati-hati sepanjang musim jerebu kini.

“Jerebu menyebabkan pandangan kita terhad sekali gus meningkatkan risiko kemalangan jika pengguna kurang berhati-hati ketika memandu.

“Kita juga perlu peka dengan keadaan sekeliling kerana kecuaian boleh menyumbang kepada masalah lain lebih besar,” katanya.

Yahaya juga berkata, kebakaran hutan berpunca daripada sikap orang ramai yang memandang mudah berhubung penjagaan alam sekitar.

Menurutnya, pemandu misalnya gemar membuang puntung rokok ke luar tingkap kenderaan sedangkan bara puntung itu boleh menyumbang kepada kebakaran jika tidak dipadam sepenuhnya.

“Ada di antara kita sengaja membakar semak-samun yang kemudiannya merebak hingga menyebabkan kebakaran. Keadaan itu boleh bahayakan penduduk berdekatan.

“Walaupun ada papan tanda amaran mengenai hukuman terhadap individu terlibat pembakaran terbuka, namun ada masih berdegil. Oleh itu, polis tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan terhadap individu terbabit,” katanya.

Beliau berkata, individu atau syarikat yang membuat pembakaran terbuka boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya serta kompaun maksimum RM2,000.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/jerebu-tingkat-risiko-kemalangan-1.175345


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my