loading...
Wednesday, June 26, 2013
4 maut kemalangan
26 Jun 2013
Pendang: Empat terbunuh manakala dua lagi parah dalam dua kemalangan di Lahar Tunjung, Kubur Panjang di sini, semalam dan kelmarin.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8 malam kelmarin, dua beradik yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari FELDA Sungai Tiang, meninggal dunia selepas motosikal mereka naiki bertembung dengan sebuah motosikal lain.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Superintendan L Pubadi, berkata Mohd Rafis Mat Safar, 31, dan kakaknya, Zaiton, 48, yang cedera di kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian.
Anak Zaiton, Ahmad Solihin Ridzuan, 8, cedera parah dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Penunggang sebuah lagi motosikal, Suhaimi Tajudin, 26, cedera parah dan dirawat di hospital sama.
Dua beradik itu dalam perjalanan ke rumah Zaiton di Kampung Paya Kerchut, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian selepas pulang dari rumah adik beradik mereka, Siti Zaleha, 35, di FELDA Sungai Tiang.
Parah di kepala, badan
Difahamkan, mereka merancang untuk makan malam bersama adik beradik yang lain di rumah Zaiton.
“Kami masih menyiasat punca kemalangan itu,” katanya di sini, semalam.
Dalam kemalangan kedua kira-kira jam 10.40 pagi semalam, dua beradik perempuan maut selepas PERODUA Kancil mereka naiki bertembung dengan lori tiga tan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tiang.
Pemandu kereta, Hong Jian Tan Pett, 41, dan kakaknya, Kim Sin Din Sooi, 57, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.
Pubadi berkata, siasatan awal mendapati PERODUA Kancil yang dalam perjalanan dari Sungai Tiang ke Kubur Panjang dipercayai memasuki laluan hingga menyebabkan berlaku pertembungan dengan lori.
"Mangsa yang tersepit di tempat duduk, dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke HSB untuk bedah siasat.
Pemandu lori berusia 26 tahun yang berasal dari Klang, Selangor, sudah membuat laporan dan memberi keterangan kepada polis.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang menyaksikan kedua-dua kemalangan itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang di talian 04-7596222 bagi membantu siasatan.
Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/4mautnahasmotosikal_kereta/Article/index_html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment