loading...

Saturday, August 10, 2013

Pengawal keselamatan maut

pengawal keselamatan untuk berhari raya bersama keluarganya di Semanggol, Perak tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan di Jalan Kulim Junjung


Inalillahi wainailaihi rojiun
10 Ogos 2013
KULIM - Hasrat seorang lelaki berusia 56 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk berhari raya bersama keluarganya di Semanggol, Perak tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan di Jalan Kulim Junjung, kira-kira jam 11 malam kelmarin.

Mangsa ketika itu baru pulang bekerja dari Simpang Ampat, Pulau Pinang menunggang motosikal jenis Kriss Modenas datang dari arah Junjung menuju ke Kulim.

Apabila tiba di tempat kejadian pemandu sebuah kereta Proton Iswara datang dari arah bertentangan gagal mengawal keretanya sebelum masuk ke laluan mangsa.

Pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemui lebih 20 keping duit RM1 dipercayai milik mangsa yang diletakkan di dalam sampul kemungkinan untuk diagihkan sempena hari raya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, dari maklumat diterima, kereta Proton Iswara itu dipercayai dipandu laju sebelum merempuh mangsa.

Akibat rempuhan kuat, mangsa dan motosikalnya terperosok ke parit berhampiran sebelum merempuh sebuah kereta Proton Waja yang lalu berhampiran motosikal mangsa.

“Mangsa parah di kepala dikejarkan ke Hospital Kulim dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagaimanapun meninggal dunia ketika perjalanan ke hospital. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengakibatkan kemalangan maut,” katanya.

Difahamkan, pihak trafik berhadapan masalah untuk memaklumkan kejadian itu kepada waris mangsa kerana keluarganya sudah pulang ke kampung untuk berhari raya.

Bagaimanapun dengan bantuan jiran, keluarganya berjaya dihubungi sebelum meminta mereka datang ke Unit Forensik untuk mengesahkan mayat.

Ghuzlan berkata, sepanjang Ops Selamat 3 dilancarkan 1 Ogos lalu, Kulim mencatatkan tiga kemalangan maut dimana satu darinya merupakan kes kematian lewat kerana mangsa maut setelah beberapa hari menerima rawatan kecemasan di Hospital Kulim.

Katanya, sehingga kini Ops Selamat 3 berjalan lancar dimana anggota trafik di tempatkan di beberapa kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan.

Selain itu, sekatan jalan turut diadakan untuk memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan selain memandu kenderaan mereka dengan lebih berhemah.

“Sepanjang musim perayaan, 30 peratus kenderaan di Kulim bertambah memandangkan ramai yang tinggal jauh balik ke kampung halaman. Ini mengakibatkan beberapa kawasan terutama pekan Kulim menjadi sesak pada waktu kemuncak.

"Saya menasihatkan kepada semua pemilik kenderaan supaya meletakkan kereta mereka di tempat disediakan dan jangan menghalang laluan kenderaan lain untuk memastikan tidak berlakunya kesesakan lalu lintas. Sekiranya semua pengguna jalan raya mematuhi arahan serta undang-undang jalan raya, saya percaya kadar kemalangan dapat dikurangkan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/tidak-sempat-agih-duit-raya-1.191022



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my