KUALA PILAH – Seorang pemuda nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu terbalik selepas tayar keretanya pecah di jalan Kuala Pilah-Batu Kikir berhampiran Taman Anggerik, di sini, semalam.
Dalam kejadian 8.45 pagi itu, Anuar Zakaria, 31, memandu sendirian dalam perjalanan dari rumahnya di Senaling ke pekan Batu Kikir.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, tayar kereta hadapan sebelah kanan Proton Saga yang dipandunya pecah menyebabkan keretanya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
"Oleh kerana hendak mengelak bertembung dengan tiga kereta yang datang dari arah hadapan, saya mengawal kenderaan ke arah kiri jalan menyebabkan kereta berpusing sebelum terbalik dan melanggar sebatang pokok," katanya.
Anuar berkata, dia bersyukur kerana kemalangan itu tidak melibatkan orang lain dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kalau saya membawa penumpang pasti keadaan lebih parah memandangkan keadaan kereta yang remuk akibat terlanggar pokok," katanya.
Sinar Harian difahamkan, dalam tempoh dua minggu sahaja sudah ada tiga kemalangan melibatkan kereta di lokasi sama dan semuanya disebabkan terbabas.
Penduduk tempatan, Maarof Ahmad, 66, berkata, kawasan itu sememangnya sering terjadi kemalangan.
“Saya nasihatkan agar pemandu berhati-hati melalui jalan ini. Selekoh di sini agak tajam dan selalu mengundang kemalangan lebih-lebih lagi di musim perayaan kerana kenderaan yang akan melalui jalan ini pasti bertambah," katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/terbabas-akibat-tayar-pecah-1.190653
Kereta terbabas, terjunam dalam gaung
MANTIN – Seorang lelaki cedera apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan menjunam ke dalam gaung di Jalan Mantin Lama, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, mangsa yang enggan dikenali memandu berseorangan dan dalam perjalanan pulang selepas menghantar rakannya pulang di sekitar Mantin.
Menurut mangsa, ketika dalam perjalanan pulang, kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas di tepi jejantas sebelum terjunam ke dalam gaung.
“Dalam suasana yang gelap itu, saya mengambil telefon bimbit dan menghubungi kawan saya itu, sebelum dia menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.
“Mujur saya tidak cedera parah, hanya terdapat luka dan cedera di kaki saja akibat tersepit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Nizam Shapiee berkata, sebuah jentera membabitkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban bergegas
ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan.
“Setibanya ke lokasi, kita berjaya mengeluarkan mangsa yang ketika itu cedera di kaki, sebelum menyerahkan mangsa ke pasukan perubatan ambulans yang tiba sejurus selepas itu,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-terbabas-terjunam-dalam-gaung-1.190656
Kereta nyaris rempuh gerai
REMBAU – Tiga bersaudara nyaris maut apabila sebuah kereta jenis Proton Iswara yang hilang kawalan menuju ke arah gerai mereka dalam kejadian di kilometer 33.8, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, kelmarin.
Difahamkan Proton Iswara berkenaan masuk ke laluan bertentangan sebelum berlaku perlanggaran dengan Toyota Avanza yang datang dari arah Seremban ke Melaka lalu terbabas melanggar sebuah kereta Perodua Myvi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Siti Nurullah Shamsulkamar, 16, dan dua saudaranya itu sedang bekerja separuh masa semasa cuti persekolahan terdengar bunyi kereta bergesel.
Menurutnya, kereta berkenaan didapati hilang kawalan dan menuju ke gerai mereka.
"Susulan insiden itu kami bertiga bergegas lari ke bahagian lebih selamat setelah melihat tayar kereta itu tercabut keluar dan menuju ke arah mereka.
"Mujur terdapat timbunan pasir yang dilanggar kereta berkenaan menyebabkan ia berhenti dalam jarak kira-kira satu meter dari gerai," katanya.
Pemandu Perodua Myvi, Mohd Akmal Hakim Razali, 23, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Ampangan, Seremban bersama rakannya, Nazri Rahmat, 23, menuju ke Kota, di sini.
"Saya sebenarnya ingin mengambil buluh di kampung rakan, namun terkejut apabila melihat kemalangan di hadapan mata dan tidak dapat mengelak apabila Proton Iswara yang hilang kawalan merempuh kereta saya di bahagian tepi," katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-nyaris-rempuh-gerai-1.190655
No comments:
Post a Comment