loading...
Saturday, August 10, 2013
Pegawai Tentera Antara Tiga Terbunuh
Inalillahi wainailaihi rojiun
10 Ogos 2013
SABAK BERNAM – Tiga terbunuh termasuk seorang pegawai tentera yang baru pulang ke tanah air dua hari lalu setelah terbabit dalam kemalangan ngeri melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 63 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini, petang, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Leftenan Kolenal Ajman Bakun, 54, yang memandu kereta jenis Naza Forte dan seorang lagi pemandu kereta Proton Iswara, Mohd Zulfazli Baharudin, 34, maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, seorang lagi mangsa yang terbunuh ialah wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai Sofia.
“Bagaimanapun, Sofia meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tanjung Karang,” katanya.
Noor Mushar berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah Proton Saga yang dinaiki tiga orang penumpang dari arah Sungai Besar yang masuk ke laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah MPV jenis Nissan Hyper Cvt.
“Akibat pertembungan itu, sebuah kereta Naza Forte dari arah Klang yang ketika itu berada di belakang Nissan Hyper Cvt itu tidak sempat membrek kenderaannya lalu merempuh kenderaan terbabit,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan hingga menyebabkan dua daripada mereka yang terbunuh itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk tujuan bedah siasat.
Beliau berkata, pegawai tentera itu dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Perak dipercayai untuk pulang berhari raya dan ingin mengadakan kenduri kahwin anaknya tidak lama lagi.
“Mangsa bersama tiga lagi keluarganya dalam perjalanan ke Perak, bagaimanapun tiga lagi daripada mereka terselamat dan dibawa ke Hospital Tanjung Karang bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.
Noor Mushar berkata, selain tiga terbunuh, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang menaiki kenderaan Proton Iswara terpaksa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, katanya, kesemua pemandu dan penumpang Nissan Hyper Cvt dilaporkan selamat.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/nahas-ragut-tiga-nyawa-1.190910
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment