5 Ogos 2013
KUALA PILAH – Terperanjat dengan kehadiran sekumpulan babi hutan di tengah jalan mengakibatkan kenderaan dinaiki empat sekeluarga terbabas ke dalam longkang.
Kejadian berlaku kira-kira 9 malam di Jalan Kuala Pilah – Batu Kikir, berhampiran Taman Anggerik menyebabkan kereta Nissan Almera dipandu Raja Mahadi Raja Abdullah, 35, memasuki lorong bertentangan lalu terbabas ke dalam longkang setelah melanggar tiang lampu.
Raja Mahadi dalam perjalanan ke Bandar Baru Serting, Jempol setelah selesai membeli-belah di Seremban bersama keluarganya sebagai persiapan menyambut hari raya.
“Kejadian berlaku begitu pantas dan setibanya saya di selekoh tajam di tempat kejadian, tiba-tiba sekumpulan babi hutan berada di tengah-tengah jalan. Dalam keadaan panik, saya cuba mengelak ke arah kanan jalan sambil menekan brek.
“Namun, kereta saya berpusing lalu melanggar sebatang tiang lampu sebelum terhumban ke dalam longkang di sebelah kanan jalan," katanya.
Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan anak sulungnya, Raja Alia Shafiah, 7, yang duduk di bahagian belakang tercampak keluar dari pintu belakang sebelah kiri.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana kesemua ahli keluarganya tidak mengalami kecederaan serius.
Sementara itu, jurucakap Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, di sini untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, seorang penduduk tempatan, Shaharom Sulaiman, 49, berkata, kawasan itu sememangnya kerap berlaku kemalangan.
“Sepanjang saya menetap di taman ini dari tahun 2000, tidak kurang dari lapan orang maut akibat kemalangan," katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terkejut-lihat-babi-kereta-masuk-longkang-1.190325
No comments:
Post a Comment