loading...

Monday, December 31, 2012

Terhumban atas jalan


1 Januari 2013
SEBERANG PERAI - Seorang pemuda nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang membelok di Jalan Bagan Ajam berdekatan Klinik Xavier di sini, petang kelmarin.

Rempuhan kuat di bahagian hadapan kiri kereta Toyota Vios dinaiki satu keluarga dalam kejadian pada jam 7.20 petang itu menyebabkan mangsa berusia 20-an, tidak sedarkan diri dipercayai kerana mengalami cedera parah.

Mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dikatakan dalam perjalanan dari Bagan Lebai Tahir ke Taman Sri Bagan di Bagan Dalam, untuk bertemu rakan.

Difahamkan, mangsa yang menunggang dalam keadaan laju gagal mengawal motosikalnya sebelum melanggar bahagian hadapan kereta dinaiki keluarga itu yang membelok untuk pulang ke rumah mereka di Taman Meranti Indah di sebelah kanan laluan berkenaan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa terpelanting dan terhumban di sebelah kenderaan berkenaan menyebabkannya cedera dan tidak sedarkan diri kemudiannya.

Pengguna jalan raya yang prihatin dilihat bersama petugas Klinik Xavier memberikan bantuan di lokasi kejadian sebelum mangsa dibawa dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Seberang Jaya kemudiannya.

Laluan berkenaan turut sesak apabila pemilik kenderaan turut memberhentikan kenderaan mereka untuk melihat kejadian itu, bagaimanapun aliran trafik kembali lancar sejurus ketibaan polis mengawal keadaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/tak-sedarkan-diri-selepas-terhumban-ke-atas-jalan-1.116934


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my