loading...

Monday, December 31, 2012

Punca radiator tak berfungsi


HOS getah penyalur air dan penutup kerap menjadi punca kegagalan radiator yang berfungsi menyejukkan enjin dengan sempurna.

Ini berikutan kegagalan dua komponen berkenaan membuatkan air dalam radiator bertukar menjadi wap menyebabkan kandungannya semakin berkurangan.

Sekiranya hos getah gagal berfungsi akibat bocor, ia mungkin berpunca daripada keretakan atau rekahan pada permukaannya kerana komponen itu terlalu lama sehingga menjadi keras.

Jika rekahan itu dibiarkan tanpa mengganti hos, kemungkinan ia bocor menyebabkan semua air dalam tangki kosong, sekali gus menaikkan suhu enjin.

Penutup radiator pula gagal berfungsi apabila springnya menjadi keras dan tidak lagi menganjal menyebabkan komponen itu gagal mencengkam bagi menutup lubang memasukkan air.

Keadaan itu menyebabkan air dalam radiator mendidih menghasilkan tekanan sebelum keluar sebagai wap. Lama kelamaan air dalam radiator kehabisan.

Akhirnya, kereta anda tersadai di tepi jalan kerana tidak boleh bergerak apabila suhu enjin terlalu panas.

Sehubungan itu, anda dinasihatkan memeriksa setiap hos getah dari pangkal hingga ke hujung bagi memastikan tiada rekahan.

Periksa juga pangkal hos yang diikat dengan klip kerana bahagian ikatan itu mudah bocor.

Ujian untuk memastikan ketahanan hos getah adalah dengan memicitnya. Getah, eloklah gantikan hos itu dengan segera kerana ia sebagai petanda akan pecah bila-bila masa saja.

Akhir sekali, periksa semua kedudukan hos supaya tidak bergesel dengan dinding atau alat ganti lain.

Sekiranya mahu menukar hos getah, air dalam radiotor perlu dibuang dengan membuka skru saluran keluar air di bawah tangki. Kemudian, buka klip pengikat kedua-dua pangkal hos menggunakan pemutar skru.

Jangan sekali-kali menggunakan kekerasan ketika mencabut pangkal hos itu kerana puntungnya mudah retak, sebaliknya gunakan pisau untuk memotong hos itu. Selepas hos dicabut, gunakan berus dawai membersihkan sekeliling puntung yang mungkin diselaputi karat.

Jangan lupa masukkan dahulu gelung klip pada pangkal hos sebelum diketatkan semula selepas hos itu disumbatkan pada puntung.

Jika menghadapi masalah memasukkan pangkal hos itu, gunakan minyak atau gris yang disapu pada hujung puntung yang bertindak sebagai pelicin. Selepas pangkal hos dimasukkan ke puntung, ketatkan klip menggunakan pemutar skru.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Hosbocor_radiatortakberfungsi/Article/index_html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my