Inalillahi wainailaihi rojiun
12 Mei 2013
ALOR GAJAH - Seorang warga emas yang baru kematian isteri beberapa minggu lalu, maut selepas dilanggar kereta semasa melintas jalan dari sebuah kedai makan di Jalan Guan, Kuala Sungai Baru, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 8.15 malam itu, Ismail Omar, 76, baru saja keluar dari kedai makan itu sebaik saja hujan reda menyebabkan beberapa pelanggan kedai berkenaan terkejut mendengar dentuman kuat.
Menurut sumber, mangsa dirempuh kereta jenis Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia awal 40-an yang dinaiki bersama keluarga dari arah Port Dickson, Negeri Sembilan ke Kampung Air Hitam Darat, Tanjung Bidara.
“Pemandu kereta terbabit dipercayai hilang kawalan ketika melalui tempat kejadian sebelum bahagian depan sebelah kanan cermin sisi kereta merempuh mangsa yang melintas jalan.
“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak sejauh kira-kira lima meter dari tempat kejadian dan cedera parah di kepala selepas terhentak atas jalan raya,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang baru kematian isteri beberapa minggu lalu maut akibat parah di kepala.
“Mangsa dikatakan berada di kedai makan berkenaan sejak 7 petang sebelum pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari kedai berkenaan dengan berjalan kaki.
“Ketika kejadian terdapat beberapa pelanggan di kedai makan kampung itu sebelum meminta diri untuk pulang ke rumahnya selepas hujan reda,” katanya.
Sementara itu, anak perempuan mangsa, Suziliana Ismail, 46, yang ketika kejadian sedang bekerja di sebuah medan ikan bakar di sini, terkejut selepas dimaklumkan insiden menimpa bapanya itu.
“Saya sangkakan ia hanya gurauan, tapi selepas pergi ke tempat kejadian, saya lihat beberapa petugas perubatan sedang memeriksa keadaan ayah yang cedera parah di kepala.
“Tak banyak perubahan yang dilihat pada ayah kerana sejak emak meninggal dunia. Ayah lebih banyak menghabiskan masa di kedai makan itu bersama rakan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-dirempuh-ketika-melintas-1.159284
No comments:
Post a Comment