loading...
Wednesday, May 8, 2013
Bertembung dengan dua motosikal
Inalillahi wainailaihi rojiun
8 Mei 2013
PONTIAN – “Saya tidak sangka tindakan arwah makan nasi goreng yang saya masak petang itu adalah hidangan terakhir sebelum dia meninggalkan kami buat selama-lamanya.
Demikian luahan Azrat Anjan, 50 menceritakan tindakan anak ketiga dari lima beradik Mohd Hidder, 20, yang maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan dua motosikal lain di Jalan Parit Ibrahim, Benut, di sini, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 9 malam itu menyebabkan mangsa yang dipercayai dalam perjalanan dari Pontian ke Benut, meninggal dunia di tempat kejadian.
Nasib sama turut dialami penunggang motosikal Muhammad Esma Shahnizam Jamal, 20, yang dipercayai dalam perjalanan ke Pontian, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Benut yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.
Manakala seorang lagi penunggang motosikal, Riyan Bachok dilaporkan cedera parah dan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Azrat yang juga seorang nelayan berkata, dia terkilan kerana tidak sempat melihat anaknya itu buat kali terakhir.
“Sebelum itu, saya sempat memasak nasi goreng kegemaran Hidder. Saya tengok dia makan dengan bersungguh sehingga tidak menghiraukan orang yang lalu di sebelahnya,” katanya yang tinggal di Kampung Baru Benut.
Katanya, meskipun teguran diberikan namun anaknya itu tidak mengendahkannya dan terus menikmati nasi goreng tersebut.
Menurutnya, Mohd Hidder yang bekerja sebagai pekerja kilang di sebuah kilang elektronik di sini tidak banyak bercakap sejak kebelakangan ini.
“Saya terkejut apabila menerima panggilan menyatakan anak saya terlibat dalam kemalangan, ketika itu saya sedang berada di jeti kerana hendak memukat di laut,” katanya.
Sementara itu bagi bapa Muhammad Esma Shahnizam, Jamal Mohd Noh, 44, menyifatkan anak sulung dari enam beradik itu sangat bertanggungjawab dan rajin mencari rezeki bagi membantunya.
“Isma sangat rajin, selain menjadi nelayan dia turut melakukan banyak kerja lain seperti cari daun nipah, mengisi otak-otak dan kerja-kerja kampung lain bagi mencari duit untuk kami sekeluarga.
“Bagaimanapun saya tetap reda dengan pemergiannya,” katanya.
Sementara itu, Sinar Harian cuba mendapatkan pengesahan mengenai kejadian kemalangan itu daripada pihak polis namun gagal.
Jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor di Kampung Baru Benut.
Al-Fatihah
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/nasi-goreng-santapan-akhir-1.158110
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment