Wednesday, September 18, 2013

Pelajar maut rempuh lori


18 September 2013
NILAI – Seorang pelajar sebuah kolej maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di Kilometer 287.0 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur masuk Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Nilai, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa, Yap Tet Shen, 18, maut serta merta di tempat kejadian akibat mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan badan.

Sementara rakannya cedera ringan dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini, untuk rawatan.

Jurucakap polis berkata, mangsa bersama rakannya itu menaiki kereta jenis Proton Waja dipercayai dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke kolejnya di Nilai.

“Bagaimanapun, sejurus tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kiri.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah akibat tersepit di bahagian duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Jurucakap berkata, pemandu lori dan kelindan masing-masing berusia 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal pihaknya mendapati lori terbabit yang membawa muatan ikan dalam perjalanan ke Seremban bagi menghantar muatan tersebut.

“Namun, pemandunya tiba-tiba memilih untuk berhenti di lorong kiri berhampiran susur masuk R&R Nilai disebabkan kenderaannya mengalami kerosakan,” katanya.

Kata Jurucakap, mayat mangsa dihantar ke HTJ untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superitendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/rempuh-belakang-lori-berhenti-1.203029



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount