Friday, September 20, 2013

Meraung tepi jalan



20 September 2013
Kuantan: Dua rakan baik meraung kesakitan selama hampir setengah jam apabila kaki mereka cedera parah selepas tersembam ke jalan raya akibat motosikal dinaiki bergesel dengan lori di Kilometer 35 Jalan Kuantan - Kemaman, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, mangsa masing-masing berusia 25 dan 31 tahun dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Gebeng menghala Cherating dengan menaiki motosikal Honda EX-5.


Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian, namun ketika melalui jalan terbabit, motosikal mereka bergesel dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Menurut saksi yang enggan dikenali, kejadian itu menyebabkan kedua-duanya terjatuh ke atas jalan dan masing-masing mengalami kecederaan serius di lutut dan betis kanan, tetapi pemandu lori terbabit dipercayai tidak menyedari kejadian itu dan meneruskan perjalanan.


“Melihat keadaan mangsa yang terbaring sambil meraung kesakitan, orang ramai segera menghulurkan bantuan dan cuba menenangkan mangsa selain menghubungi talian kecemasan,” katanya.


Dia berkata, ambulans tiba di lokasi kejadian kira-kira setengah jam kemudian dan pasukan paramedik memberikan rawatan awal sebelum menghantar mangsa ke Hospital Kemaman, Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Kemalangan sering berlaku di kawasan ini walaupun jalan lurus dan rata. Sepanjang tahun ini sudah beberapa kemalangan maut berlaku dan orang ramai sepatutnya lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan ini,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, siasatan awal mendapati lori dari arah Kemaman memotong sebuah lori lain di hadapannya sebelum ekor kenderaan itu bergesel dengan motosikal mangsa.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal terbabit yang dikenali sebagai Mohd Noor Harfais, 25, remuk tulang betis kanan manakala rakannya yang membonceng dikenali sebagai Mohd Hidzin, 31, retak lutut kanan.


“Lori berkenaan tidak berhenti dan meneruskan perjalanan ke arah Kuantan manakala kedua-dua mangsa terbabit dihantar ke Hospital Kemaman.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Azizudin Abd Kudus di talian 012-9528793 bagi membantu siasatan,” katanya.


Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Meraungtepijalan/Article/index_html



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount