loading...

Wednesday, September 18, 2013

Lima kanak-kanak nyaris maut


18 September 2013
REMBAU – Lima kanak-kanak Tabika Kemas Sungai Timun menghadapi saat mencemaskan apabila kereta mereka naiki berlanggar dengan sebuah kereta lain ketika pulang dari latihan futsal dan bola jaring, semalam.


Kejadian berlaku kira-kira 11 pagi di Kilometer 3, Jalan Kota-Astana Raja, Legong Ulu, di sini, apabila kereta jenis Proton Saga yang dipandu guru tabika berkenaan gagal mengelak sebuah kereta yang secara tiba-tiba keluar dari simpang.

Guru terbabit, Nur Mashitah Ibrahim, 24, berkata, ketika kejadian, dia sedang dalam perjalanan membawa pulang kelima-lima kanak-kanak, kesemua berusia 6 tahun dari Tabika Kemas Pekan Kota ke Tabika Kemas Sawah Raja dan Sungai Timun.

“Saya tidak sempat mengelak apabila tiba-tiba ada sebuah kereta keluar dari simpang menyebabkan kenderaan kami berlanggar," katanya.

Akibat pelanggaran itu, katanya, seorang daripada anak muridnya, Arina Umairah Salmi cedera di muka.

"Arina duduk di bahagian hadapan penumpang dan dibawa ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mashitah berkata, empat kanak-kanak lain kemudian dibawa pulang keluarga masing-masing yang tiba di tempat kejadian.

Menurutnya, mereka berulang alik sejak minggu lalu untuk menjalani latihan di Kota sebagai persediaan menghadapi Hari Potensi Kemas Parlimen Rembau, 25 September ini.

Sementara itu, Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati, Proton Saga yang membawa kanak-kanak itu gagal mengelak sebuah kereta jenis Nissan yang tiba-tiba keluar dari persimpangan.

"Kesemua selamat, bagaimanapun seorang kanak-kanak dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kemalangan-lima-kanak-kanak-cemas-1.203030



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount