Thursday, September 19, 2013

Berteraburan Kampit Baja


19 September 2013
Kuantan: Terdesak selepas terperangkap dalam kesesakan lalu lintas akibat treler terbalik merentangi laluan di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan di Sungai Karang, di sini pagi semalam, segelintir pengguna jalan raya bertindak membina jalan alternatif dengan menutup sebahagian longkang menggunakan kampit berisi baja yang dibawa treler berkenaan.



Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, treler membawa muatan baja terbabit dikatakan dalam perjalanan ke Cheneh, Kemaman sebelum belakangnya terbalik merentangi jalan sehingga menyebabkan kesesakan sejauh lebih 10 kilometer.

Kejadian berlaku ketika orang ramai mula keluar untuk ke tempat kerja serta menghantar anak ke sekolah menyebabkan mereka mengambil tindakan menutup longkang di tepi jalan raya menggunakan kampit berisi baja serta merobohkan tebing longkang yang agak tinggi bagi membolehkan kenderaan melepasi belakang treler yang terbalik.

Difahamkan, pemandu dan kelindan treler itu yang berusia lingkungan 30 tahun tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang orang ramai mengambil baja berharga RM150 sekampit untuk menutup longkang disebabkan pengguna jalan raya berang kerana perjalanan mereka tertangguh hampir empat jam.

Tinjauan di tempat kejadian mendapati ratusan kenderaan menghala ke kawasan perindustrian Gebeng terperangkap dalam kesesakan sebelum pihak berkuasa membuka laluan bersebelahan bagi melancarkan pergerakan trafik.


Malah, ada kenderaan mengalami kerosakan dan tersadai di bahu jalan akibat terlalu lama terperangkap dalam kesesakan selain terdapat pemandu kurang sabar menjerit marah ketika melepasi treler berkenaan.

Menurut kelindan treler itu yang enggan dikenali, mereka dalam perjalanan dari Johor Bharu ke Cheneh untuk menghantar baja, namun ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan itu hilang kawalan sebelum bahagian belakang terbalik merentangi jalan.

“Ketika itu treler dipandu perlahan berikutan muatan penuh selain menaiki jalan berbukit. Tiba-tiba ekor treler bergoyang dan pemandu cuba mengawal kenderaan, tetapi gagal sebelum ia terbalik,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya mereka bernasib baik kerana kepala treler tidak terbalik, malah ketika kejadian tiada kenderaan lain di belakang.

Sementara itu, saksi yang ingin dikenali sebagai Shahir, 40-an, berkata, orang ramai terpaksa membina jalan alternatif untuk memberi laluan kepada kenderaan yang terperangkap memecahkan tebing serta menutup longkang menggunakan kampit baja.

“Jalan ini memang sentiasa sibuk terutama waktu pagi kerana ia laluan utama bagi pekerja perindustrian di Gebeng serta ibu bapa yang mahu menghantar anak ke sekolah berdekatan,” katanya.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Kampitbajajadijalan/Article/index_html



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount