15 Jun 2013
KUALA KANGSAR - “Saya tak sempat nak selamatkan barang lain, hanya komputer riba saja yang sempat saya bawa keluar.” Kata Mat Daud Ahmad, 45, pemilik kereta jenis Honda Civic yang terbakar di KM 253.1 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara.
Kereta yang dinaiki Mat Daud bersama isteri dan ibu mentuanya dalam perjalanan ke Kedah dari Kuala Lumpur.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku terlalu pantas dan dia cuba untuk memadamkan kebakaran namun gagal.
“Polis Peronda juga ada bantu untuk padamkan api tapi tidak berjaya juga.
“Lebih kurang 10 minit saja, kereta saya hangus terbakar. Saya hanya mampu lihat, tak mampu nak padamkan api yang semakin marak itu,” katanya.
Tambahnya, dia menyedari asap keluar dari saluran penghawa dingin keretanya lalu dia memberhentikan kereta di tepi jalan.
“Saya turun kereta dan periksa enjin, di enjin pun ada asap juga masa itu. Tak lama lepas itu, ada sedikit percikan api di bahagian hadapan kereta.
“Masa itu semua orang dalam kereta dah keluar. Kejap saja, terus habis terbakar kereta saya,” katanya.
Dalam pada itu, kebakaran yang berlaku pada 9.15 pagi itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM35,000.
Sementara itu, pasukan bomba dan penyelamat Kuala Kangsar menerima laporan kebakaran pada jam 9.23 pagi lalu bergegas ke tempat kejadian.
Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Kuala Kangsar, Abdul Halim Mat Sigar berkata, seramai lapan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan tersebut.
“Semasa kami sampai, kereta tersebut sudah hangus terbakar.
"Tidak ada mangsa yang maut ataupun cedera. Kesemua mangsa sempat keluar dari kereta tersebut sebelum kereta itu terbakar keseluruhan,” katanya.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/tiga-sekeluarga-nyaris-maut-1.171590
No comments:
Post a Comment