loading...

Saturday, December 1, 2012

Pemandu Mabuk dibelasah

2 Disember 2012
GEORGETOWN - Gara-gara memandu dalam keadaan mabuk, seorang lelaki warga asing dibelasah sekumpulan pengguna jalan raya selepas dia dikatakan memandu secara berbahaya dan merempuh beberapa kenderaan di persimpangan lampu isyarat Batu Uban di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, lelaki yang berasal dari negara Timur Tengah itu dikatakan merempuh sebuah kereta dan beberapa motosikal yang berhenti di persimpangan lampu isyarat Batu Uban menghala ke Sungai Nibong.

Menurut sumber, akibat kejadian itu, seorang penunggang motosikal cedera ringan selepas terpaksa melompat dari kenderaannya bagi mengelak diri daripada dirempuh.

“Lelaki warga asing itu dilihat memandu secara berbahaya dengan melanggar lampu isyarat yang masih merah dan akibat perbuatannya itu dia merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu MPV berkenaan juga hilang kawalan dan merempuh beberapa motosikal di persimpangan itu,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu terus bertindak menahan lelaki berkenaan sebelum memukulnya namun kehadiran kereta polis peronda menyelamatkannya daripada terus dibelasah.

Menurutnya, pemeriksaan polis mendapati lelaki berkenaan berada di bawah pengaruh alkohol dan turut menemui botol arak dalam kereta yang dipandunya.

Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/pemandu-mabuk-kena-belasah-1.109012


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my