loading...

Saturday, December 1, 2012

Ibu mengandung maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

2 Disember 2012
PULAU PINANG - Hasrat seorang ibu mengandung yang mahu mengambil dua anaknya di Banting Selangor tidak kesampaian apabila dia sekeluarga mengalami kemalangan sehingga mengakibatkan maut bersama anaknya yang berusia setahun.

Bagaimanapun suami mangsa terselamat dalam kemalangan yang berlaku awal pagi semalam di Kuala Kangsar, Perak.

Ketika kejadian, bayi yang dikandung mangsa, Siti Khatijah Omar, 35, dipercayai meninggal dunia ketika masih di dalam perut.

Dia kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Ipoh sementara jenazah anak perempuannya yang berusia setahun dihantar ke kampung halaman di Sungai Gelugor Pulau Pinang.

Sepupu mangsa, Siti Azlina Abdul Aziz, 34, berkata, dia sendiri tidak menjangka menerima berita kematian arwah pagi semalam.

Menurutnya, sejurus selepas kejadian beliau dimaklumkan arwah dimasukkan ke ICU, namun tiga jam kemudiannya disahkan meninggal dunia.

“Kehilangan Siti Khatijah amat dirasakan kerana baru sahaja pada Jun 2012 adik arwah meninggal dunia kerana membantu rakan yang hampir lemas di air terjun, sudah takdir ALLAH, arwah pula yang ‘mengikut’.

“Memang seluruh ahli keluarga masih sedih dengan kehilangan adik arwah sebelum ini, kali ini arwah pula yang meninggalkan kami semua,” katanya.


Berkongsi kisah kematian melalui Facebook

SEBELUM ini Sinar Harian pada 10 Jun 2012 melaporkan hasrat seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah menyelamatkan rakannya yang dipercayai lemas di kawasan air terjun dekat Muzium Arkeologi Lembah Bujang akhirnya meragut nyawanya sendiri selepas dia ditemui lemas.

Mangsa, Mohammad Syafiq Omar, 22, bersama tiga rakannya dikatakan beriadah di tasik berkenaan. Mohammad Syafiq pelajar semester empat Ijazah Sarjana Muda Kewangan seorang yang ceria dan saling mengenali sejak berada di peringkat diploma lagi.

Siti Azlina berkata, Siti Khatijah juga mempunyai sifat yang sentiasa ceria sama seperti arwah adiknya, Syafiq.

Bagaimanapun, sejak dua bulan yang lalu, arwah sentiasa berkongsi kisah kematian melalui laman Facebook miliknya.

Antara kata-kata yang dikongsi termasuk menasihatkan rakan-rakannya tidak meluahkan rasa di laman sesawang sebaliknya lebih baik dicurahkan pada ALLAH, arwah juga sempat meminta rakannya mengingati mati itu sesuatu yang pasti.


Tak sedap hati sejak dua bulan lalu

MENURUT sepupunya yang juga sahabat rapatnya ketika mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, selepas kematian adiknya, arwah dilihat tidak lagi meletakkan sebarang berita di laman Facebook melainkan kisah kematian dan menginsafkan diri.

“Saya sendiri sejak dua bulan lalu berasa tidak sedap hati dan sentiasa terfikir akan ada orang yang saya sayang akan pergi tinggalkan saya.

“Tapi saya sendiri tidak sangka rupa-rupanya sepupu saya sendiri dengan anak-anaknya yang akan tinggalkan saya,” katanya.

Saudara mangsa, Ibrahim Noordin berkata, dia sendiri terkejut dengan berita kematian Siti Khatijah yang juga kakitangan di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang.

“Kelmarin, seluruh kakitangan perpustakaan melancarkan Tabung Kemanusiaan Gaza Sinar dan wajahnya hari ini (semalam) ada dalam akhbar Sinar Harian,” katanya.

Suasana sedih dan murung menyelubungi rumah keluarga mangsa di Kampung Sungai Gelugor ketika kunjungan Sinar Harian.

Ibu dan kakak arwah tidak dapat menahan kesedihan sehingga ditenangkan oleh saudara mara.

Sementara itu, ratusan sanak saudara mara dan rakan sekerja mengunjungi jenazah dan menunaikan solat jenazah petang semalam.

Jenazah bersama anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gelugor selepas solat asar.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/ibu-mengandung-maut-bersama-anak-1.108994


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my