loading...

Sunday, November 25, 2012

Maut Honda bertembung lori



26 November 2012
 SABAK BERNAM - Seorang lelaki maut setelah kenderaan dipandunya dirempuh dari arah hadapan sebuah lori kontena dalam kejadian di Kilometer 33 Jalan Teluk Intan - Klang, awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superitendan Noor Mushar Mohammad berkata, kejadian jam 12.45 pagi itu berlaku apabila kereta Honda dipandu mangsa cuba memintas kenderaan di hadapannya, namun gagal sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Menurutnya, mangsa yang berumur lingkungan 22 tahun berkenaan tidak berjaya untuk memintas kenderaan di hadapannya menyebabkan dia terbabas ke laluan bertentangan sebelum dirempuh lori kontena terbabit

“Lori kontena berkenaan difahamkan dalam perjalanan menuju ke Butterworth bagi menghantar barang muatan ke sana.

“Bomba mengambil masa kiri-kiri 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Noor Mushar berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas pertembungan berkenaan.

Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) bagi menerima rawatan, namun disahkan meninggalkan dunia jam 2 pagi.

“Pemandu lori turut membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar selepas kejadian bagi membantu siasatan terperinci dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Mushar turut menasihati pemandu berwaspada memandu terutamanya pada musim cuti persekolahan ini.

“Saya berharap pemandu dapat memandu dengan lebih berhemah supaya kadar kemalangan dapat dikurangkan khususnya pada musim cuti persekolahan ini,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/lelaki-maut-kereta-dirempuh-lori-1.107059


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my