loading...

Sunday, December 2, 2012

Nenek dan cucu maut dirempuh remaja


Inalillahi wainailaihi rojiun

2 Disember 2012
PENDANG — Seorang nenek dan cucu lelakinya maut akibat dirempuh kereta yang terbabas di Batu 13 3/4 Kampung Kobah dekat sini pagi tadi.

Nenek tersebut Munah Ismail, 64, serta cucunya itu Syahrul Fitri Shahrul Anuar, 5, serta seorang lagi cucu perempuannya Nurul Fitrah dikatakan sedang berjalan ke sebuah warung yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah mereka untuk bersarapan pagi kira-kira 8.00 pagi.

Ketiga-tiga mereka yang berpimpinan tangan dirempuh sebuah kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu seorang remaja berumur 17 tahun yang datang dari arah Kota Sarang Semut menuju ke sini, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, ASP L. Pubadi.

Munah yang tercampak kira-kira 10 meter serta cedera parah di kepala meninggal di tempat kejadian manakala Syahrul Fitri yang juga cedera di kepala dan badan meninggal di Klinik Kesihatan Kota Sarang Semut ketika menerima rawatan.

Sementara Nurul Fitrah hanya cedera ringan di kepala mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebelum dibenar pulang.

Pubadi berkata, seorang penunggang motosikal Mohd Jailani Abd Rahman, 43, dari Kampung Alor Besar, Bukit Raya dekat sini patah kaki kiri setelah dirempuh kereta yang sama.

Beliau berkata, pemandu kereta itu dikatakan cuba mengelak objek di tengah jalan sebelum hilang kawalan dan merempuh ketiga-tiga mangsa serta penunggang motosikal tersebut.

Katanya, pemandu kereta berkenaan bersama teman wanitanya yang juga berusia 17 tahun turut mengheret sebuah lagi motosikal sebelum terbabas ke tepi jalan di arah bertentangan.— BERNAMA


 Beli roti canai bersama dua cucu kembar

 “Biasanya saya akan keluar membeli sarapan, tetapi pagi tadi (semalam) arwah nak pergi beli roti canai bersama dua cucu kembarnya.

“Dia juga tidak bagi saya pergi kerana saya tidak berapa sihat akibat penyakit kencing manis dan tekanan darah rendah,” kata Ghazali Awang, 63, suami kepada Munah Ismail, 64, yang maut bersama seorang daripada cucunya itu apabila dirempuh sebuah kereta ketika berjalan kaki untuk ke sebuah gerai makanan di Batu Tiga, Kampung Kobah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, Munah dan cucunya, Shahrul Fitri Shahrul Anuar, 5, maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cucu kembarnya, Nurul Fitrah, 5, cedera di belakang kepala dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Turut cedera parah dalam kejadian itu ialah seorang pelanggan yang juga peniaga ubatan tradisional, Mhd Jailani Abd Rahman, 43, yang patah kaki kirinya ketika duduk di atas motosikalnya sementara menunggu makanan yang ditempahnya.


Kejadian berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun dipercayai hilang kawalan lalu merempuh mangsa dan motosikal di situ. 


Nenek, cucu kempunan roti canai

Hajat dua beradik kembar untuk menikmati roti canai bersama nenek tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Batu 13 3/4, Kampung Kobah di sini semalam.

Kemalangan pukul 8 pagi itu berlaku ketika tiga sekeluarga itu berjalan berpimpin tangan ke warung roti canai yang terletak 300 meter dari rumah mereka.

Sejurus tiga sekeluarga itu tiba berhampiran warung tersebut, mereka tiba-tiba dirempuh sebuah kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu remaja lelaki berusia 17 tahun.

Turut dirempuh kereta yang dipercayai dipandu laju itu ialah 10 buah motosikal di depan warung tersebut. Kereta itu turut dinaiki seorang gadis berusia 17 tahun. Bagaimanapun, pasangan itu tidak cedera.

Dua mangsa yang terbunuh ialah Munah Ismail, 64, dan cucunya, Syahrul Fitri Shahrul Anuar, 5. Kakak kembar Syahrul, Nurul Fitrah cedera parah di kepala manakala seorang lelaki yang berada di atas motosikal, Mhd. Jailani Abd. Rahman, 43, patah kaki kiri. Difahamkan Syahrul yang berjalan di sebelah kanan neneknya terperosok ke bawah kereta manakala Munah yang berjalan di tengah tercampak sejauh 10 meter.

Nurul Fitrah pula terpelanting dan terjatuh ke dalam lopak berair di tepi jalan di situ.


Pemandu kereta menyerah diri

PENDANG: Pemandu kereta Proton Wira Aeroback yang merempuh empat mangsa di Jalan Kota Sarang Semut-Pendang, dekat Batu Tiga, Kampung Kobah, di sini, sehingga menyebabkan dua maut, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asisten Superintendan L Pubadi, berkata pemandu lelaki berusia 17 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Setakat ini, pemandu itu sudah membuat laporan berhubung kemalangan itu sejurus kejadian berlaku. Kita sedang menyiasat punca kejadian sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Kami akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian,” katanya ketika ditemui di IPD Pendang, di sini, semalam.

Pubadi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu apabila kereta yang dipandu remaja terbabit bersama teman wanitanya yang juga berusia 17 tahun, dikatakan cuba mengelak objek di atas jalan berkenaan lalu terbabas sebelum merempuh mangsa yang berjalan kaki menuju ke gerai makanan di situ.

“Pemandu yang berasal dari Taman Bersatu, Kota Sarang Semut dikatakan menghala ke arah Pendang dipercayai memandu laju menyebabkan dia hilang kawalan lalu merempuh keempat-empat mangsa termasuk seorang pelanggan lelaki di hadapan gerai berkenaan,” katanya.

“Akibat kejadian itu, seorang wanita, Munah Ismail, 64, dan cucunya, Shahrul Fitri Shahrul Anuar, 5, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala kembar Fitri, Nurul Fitrah, 5, cedera di belakang kepala dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

“Seorang lelaki iaitu pelanggan yang sedang duduk di atas motosikal, Mhd Jailani Abd Rahman, 43, dari Kampung Alor Besar, Bukit Raya, di sini, patah kaki kiri dan dirawat di sebuah hospital swasta, di Alor Setar,” katanya.

Beliau berkata, pemandu itu juga turut merempuh 11 motosikal yang diletakkan di hadapan gerai makanan itu dan menyeret dua daripada motosikal itu ke seberang jalan berkenaan.

“Setakat ini, pihak kami menerima lima laporan daripada pemilik motosikal berhubung kemalangan itu dan sekiranya terdapat penunggang yang belum membuat laporan, mereka diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Nurashraf Abd Hamid, 22, berkata, dia sedang menikmati sarapan di gerai berkenaan selepas pulang menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Kami sempat singgah minum sebelum pulang ke rumah. Semasa minum saya nampak Mak Lang Munah sedang berjalan dengan dua cucunya menuju ke gerai ini.

“Saya sempat tegur dan pelawa Mak Lang Munah minum sekali di gerai itu. Mak Lang sempat kata tunggu sat sebelum dia dan cucunya dirempuh kereta Proton Wira.

“Saya nampak sebuah kereta yang dipandu laju merempuh mangsa menyebabkan Mak Lang Munah melambung kira-kira 10 meter, manakala Fitri berada di bawah kereta dan Fitrah tercampak di tepi jalan ini,” katanya.

Peniaga roti canai, Sofiyuddin Said, 42, berkata, dia terkejut kerana kejadian itu berlaku tidak jauh dari gerainya.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajapandukeretaserahdiri/Article/index_html
hmetro.com.my/myMetro/articles/Kempunanroticanai/Article
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_12.htm



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my