loading...

Monday, December 3, 2012

Alat cegah curi kenderaan


MASALAH kecurian kenderaan menyebabkan seorang pereka muda dari negeri di bawah bayu Sabah menghasilkan Smart Handphone Box.

Perekanya, R H Mil Rahman Biok telah berjaya menghasilkan ciptaan terbarunya itu untuk sistem keselamatan kenderaan.

Ciptaan itu telah menarik minat penganjur Jejak Inovasi iaitu Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) membawa Rahman dan inovasinya untuk dipamerkan sempena Forum Inovasi Dunia Kuala Lumpur (WIFKL 2012) baru-baru ini.

Smart Handphone Box yang telah dipatenkan itu membolehkan kenderaan 'memberitahu' pemiliknya jika diceroboh atau dicuri walaupun sistem keselamatan kereta telah diputus atau dirosakkan.

Wakil Rahman, Jupili Waiman berkata, sistem berkenaan boleh disambungkan dengan mudah ke sistem keselamatan kereta tanpa pengubahsuaian besar pada kenderaan.

"Ia hanya menggunakan mekanisme mudah yang akan mendail nombor telefon yang telah didaftarkan dalam senarai pemanggil seperti pemilik, keluarga atau pihak berkuasa," katanya semasa ditemui di WIFKL.

Menurutnya, mekanisme berkenaan akan berfungsi apabila sistem keselamatan diaktifkan atau semasa sistem keselamatan kenderaan diceroboh tanpa pengetahuan penjenayah.

Rahman mendapat idea bagi rekaannya apabila adiknya tersilap mendail nombor telefonnya pada 1996.

Ketika itu dia tahu peralatan yang boleh 'memberitahu' pemilik kenderaan jika kenderaan dicuri boleh dibangunkan.

Bagaimanapun Rahman tidak dapat membinanya kerana ketika itu komponen yang diperlukan sukar didapati.

Kini setelah 15 tahun, Rahman mendapati komponen berkenaan mudah didapati di kedai-kedai elektronik di bandar Kota Kinabalu, Sabah.

CanggihMenurutnya, kini sistem yang lebih maju dan canggih boleh didapati dengan kos kira-kira RM5,000 tetapi beliau sendiri boleh membina dengan harga yang mampu dimiliki oleh semua orang tanpa menggunakan telefon bimbit.

Apa yang lebih menarik kata Jupili, peralatan ini boleh mengesan lokasi kenderaan walaupun berada di dalam bangunan.

"Kenderaan yang dipasang dengan sistem itu akan menghantar SMS apabila kenderaan diceroboh walaupun pemilik berada di tempat lain.

"Ini berbeza dengan sistem keselamatan yang hanya membunyikan penggera jika kenderaan diceroboh," katanya.

Ini membolehkan pemilik menghantar SMS kepada kenderaan mengenai langkah seterusnya sama ada menghentikan kenderaan, mengunci pintu atau apa-apa arahan yang telah didaftarkan.

Ini memberikan peluang kepada pemilik kenderaan untuk menelefon pihak berkuasa seperti polis bagi mengesan kenderaan mereka.

Malah kaedah ini membantu pemilik yang sering terlupa mengunci pintu kenderaan mereka.

Jupili berkata, peralatan berkenaan bukan saja boleh digunakan bagi kereta tetapi kenderaan lain seperti motosikal dan hartanah seperti rumah, gudang atau pejabat.

Peralatan berkenaan juga boleh ditambah fungsi dengan memberhentikan kotak gear atau aliran petrol ke kereta apabila sistem diaktifkan.

Ini bermakna penjenayah tidak dapat lari jauh dengan kereta yang dilengkapi sistem ini.




Sumber:
utusan.com.my/utusan/Sains_&_Teknologi/20121202/st_01/Inovasi-cegah-curi-kenderaan



1 comment:

  1. macam best...kereta mahal elok la taruk...
    kereta reput macam gua ni...penyamun pun tak pandang..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my