Saturday, October 19, 2013

Remaja perempuan maut nahas



Inalillahi wainailaihi rojiun

19 Oktober 2013
SEGAMAT - Kegembiraan seorang remaja dari Negeri Sembilan untuk menghabiskan cuti perayaan di rumah saudaranya di Labis, di sini, berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 6.5 Jalan Labis - Air Panas, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, mangsa yang juga pembonceng, Siti Rubiah Mustapa, 14, maut serta merta di lokasi kejadian apabila motor ditunggang sepupunya, Syarifah Norwahida Syed Khaled, 18, hilang kawalan sebelum memasuki laluan  bertentangan dan dirempuh  sebuah kereta.

Pemandu kereta yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, hujan lebat dan sebuah motosikal dari arah Labis menghala Pekan Air Panas tergelincir ketika melalui selekoh sebelum mangsa terpelanting ke lorong bertentangan.

“Saya berusaha sedaya upaya mengelak mangsa, namun tidak berjaya menyebabkan saya merempuh mangsa walaupun kenderaan sendiri terbabas dan hampir melanggar tiang lampu.


“Hujan lebat dan jalan yang licin menyebabkan sepupu mangsa gagal mengawal motosikal ditunggangnya sehingga menyebabkan mereka terjatuh. Saya sendiri masih trauma dengan kejadian ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, mangsa cedera parah pada kepala dan maut  serta merta di lokasi kejadian,  manakala sepupunya mengalami luka kecil  dan lebam pada mata, dan  dikejarkan ke Hospital Daerah Segamat (HDS) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/remaja-maut-nahas-1.212517




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount