Thursday, October 17, 2013

Nahas 6 kenderaan



17 Oktober 2013
KULAIJAYA – Aliran lalu lintas di Lebuh Raya Utara-Selatan mengalami kesesakan sejauh lebih 10 kilometer akibat kemalangan melibatkan enam buah kenderaan termasuk dua treler di KM 39.3 berhampiran susur keluar Sedenak, di sini semalam.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan maut atau cedera dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 10.50 pagi itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan serba guna jenis Toyota Hilux terbabas dan melanggar pengadang jalan ketika hujan lebat.

“Kemudian sebuah kereta jenis Perodua MyVi yang datang dari arah belakang memperlahankan kenderaan bagi mengelak Toyota Hilux, namun telah dirempuh sebuah kereta lain jenis Proton Arena.

“Kejadian menyebabkan Perodua MyVi berpusing di tengah jalan dan dilanggar oleh sebuah lagi kereta jenis Perodua Kenari,” katanya.

Mohad berkata, kejadian itu turut mengakibatkan sebuah treler yang membawa kontena dirempuh sebuah treler lain yang berada di belakangnya menyebabkan kenderaan terbabit melintang di tengah-tengah laluan.

“Pemandu treler berkenaan memperlahankan kenderaan, tetapi dirempuh sebuah treler lain dan menyebabkannya melintang di tengah jalan dan mengakibatkan kesesakan jalan.

“Kesemua mangsa terselamat dan tiada kecederaan berlaku, manakala pihak Plus Expressway Berhad turut membuka laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/6-kenderaan-terbabit-kemalangan-1.212012



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount