loading...

Thursday, August 1, 2013

Pemain hoki kebangsaan maut

Pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, maut dalam kemalangan selepas kereta dipandunya melanggar lori siram pokok di Kilometer 10.4, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Kelana Jaya

1 Ogos 2013

PETALING JAYA - Pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, maut dalam kemalangan selepas kereta dipandunya melanggar lori siram pokok di Kilometer 10.4, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Kelana Jaya, di sini, kira-kira jam 3 pagi tadi.

Pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, maut dalam kemalangan

Jurucakap polis Petaling Jaya berkata, kereta Proton Perdana dipandu Boon Huat dipercayai terlanggar sebuah lori tangki air di LDP dalam kejadian awal pagi itu.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Damansara diketuai seorang pegawai dan lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan Chua yang tersepit dalam keretanya.

Beliau berkata Boon Huat mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, maut dalam kemalangan

"Mayat telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Berasal dari Bukit Cina, Melaka, Boon Huat merupakan antara pemain hoki negara paling lama yang mula beraksi untuk skuad kebangsaan sejak berusia 17 tahun pada 1998.- Bernama

Chua Boon Huat maut


Ibu tak sangka nasib Boon Huat seperti bapanya

PETALING JAYA 1 Ogos - Tan Kuai Neo tidak menyangka akan kehilangan anak, Chua Boon Huat, pemain hoki kebangsaan, dalam kemalangan jalan raya hari ini, tragedi sama meragut nyawa suaminya sembilan tahun lepas.

Kuai Neo , 64, berkata suaminya, Chua Peng Hock maut dalam kemalangan dengan kenderaan lain ketika menunggang motosikal di Melaka, dan kini anak bongsu kesayangannya pula jadi mangsa kemalangan jalan raya.

"Saya terkejut dengan berita kematian anak saya kerana ayahnya juga pergi akibat kemalangan.

"Teman wanita Boon Huat memaklumkan kepada saya melalui panggilan telefon pada 4 pagi tadi mengenai anak saya," katanya kepada pemberita sambil menangis di Bilik Mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini.

Boon Huat, 33, maut setelah kereta Proton Perdana dipandunya terlanggar sebuah lori tangki air di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran stesen LRT Kelana Jaya, pada 2.25 pagi.

Mengetahui khabar mengejut itu, Kuai Neo bersama keluarganya dari Melaka segera ke Kuala Lumpur sejauh 130 kilometer untuk ke PPUM dan tiba di sini pada 6 pagi.

Kuai Neo berkata, Boon Huat mempunyai seorang abang dan dua orang kakak.

"Boon Huat adalah seorang anak yang suka bercakap, periang dan taat," katanya.

Bagi Boon Huat, hoki adalah hidupnya kerana anaknya itu meminati dan bermain hoki dalam pertandingan sejak sekolah lagi sehingga mewakili Sekolah Kebangsaan Bandar Hilir, Melaka semasa di darjah empat dan bermain untuk Melaka High School bagi peringkat sekolah menengah, katanya.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan Boon Huat adalah pada penghujung Jun lalu, sewaktu dia ada masa lapang dan tiada perlawanan," katanya sambil menambah tiada tanda-tanda pelik ditunjukkan anaknya sebelum kemalangan itu.

Beliau berkata, mayat anaknya akan dibakar pada Isnin ini di Semabok, Melaka.

Suasana pilu menyelubungi bilik mayat hospital itu apabila 10 anggota keluarga mendiang Chua hadir sementara menunggu proses bedah siasat yang selesai pada 10 pagi.

Sementara itu, abang sulung mendiang, Aliff Nor Najmi Chua, 42, berkata, minat mendiang dalam sukan hoki berkembang di peringkat sekolah rendah selepas beliau memperkenalkan sukan itu kepada mendiang.

Bekas pemain ragbi kebangsaan dari 1998-2004 itu berkata, beliau berjumpa mendiang buat kali terakhir pada pertengahan Jun lepas di Melaka ketika mendiang pulang ke kampung halaman di Semabok.

"Kali terakhir saya jumpa dengan dia, tiada apa-apa perkara ganjil yang berlaku pada mendiang... mendiang seorang yang kuat bekerja dan amat komited ketika melakukan sebarang tugasan yang diberikan," katanya dalam nada suram kepada pemberita. Aliff menerima berita kematian adik bongsunya itu kira-kira pukul 4 pagi dan bergegas ke ibu negara dari Melaka.

"Saya tidak menduga beliau pergi seawal ini, kerana saya amat menyayangi beliau, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya yang memeluk agama Islam sejak lapan tahun lepas. - BERNAMA



Boon Huat disemadi Isnin ini

PETALING JAYA 1 Ogos - Mayat pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Semabok, Melaka selepas selesai bedah siasat hari ini sebelum disemadikan pada Isnin ini.

Mayatnya dibawa masuk untuk bedah siasat di bilik Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya kira-kira pukul 9.30 pagi ini.

Yang turut hadir melawat ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M.Saravanan dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong serta ahli keluarga dan rakan-rakan sepasukannya


Boon Huat nadi pasukan hoki Malaysia - Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Presiden Kofenderasi Hoki Malaysia, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan mendiang Chua Boon Huat sebagai nadi penting kepada pasukan hoki kebangsaan.

Baginda bertitah, ini kerana pemain hoki kebangsaan itu berpengalaman luas dalam skuad negara selain mempunyai semangat dan kesungguhan yang tinggi untuk membantu pasukannya dalam memenangi setiap kejohanan yang ditandingi.

"Kita berharap keluarga mendiang bersabar dengan pemergian mendiang dan negara akan sentiasa mengingati jasa dan pengorbanan mendiang.

"Saya lihat sudah tentu pemain skuad hoki kebangsaan akan meneruskan perjuangan pada kejohanan Piala Asia bagi memperingati mendiang Boon Huat," titah baginda kepada pemberita selepas menziarahi jenazah mendiang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2.25 awal pagi tadi, mendiang yang memandu kereta jenis Proton Perdana dipercayai telah terlanggar sebuah lori tangki air di Lebuh Raya Damansara-Puchong.

Boon Huat yang mengalami kecederaan parah di kepala dan leher meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke PPUM untuk bedah siasat. - BERNAMA


Sumber:
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri
youtube.com/watch?v=4I8fBWz8nfo
sinarharian.com.my/pemain-hoki-maut-kemalangan-1.188899
nst.com.my
hmetro.com.my/articles/Pemainhokikebangsaanmautkemalangan//Article



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my