loading...
Sunday, July 28, 2013
Isteri maut bertembung pacuan empat roda
29 Julai 2013
BENTONG – Perjalanan pulang lima sekeluarga bertukar tragedi apabila salah seorang dari mereka maut terlibat dalam kemalangan di Kilometer 4.6 Jalan Bentong-Karak kira-kira jam 12.50 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa yang maut ialah Sariza Abu Samah, 46, menaiki kereta jenis Toyota Corolla dipandu suaminya, Saperi Din, 52 dan seorang anak lelaki berusia 14 tahun dan dua anak perempuan masing-masing berumur 4 dan 10 tahun.
Katanya, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari arah Karak ke kediaman mereka di Taman Bentong Makmur dekat sini.
“Setibanya di tempat kejadian, kereta dinaiki mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 36 tahun dalam perjalanan dari arah Bentong ke Karak.
“Akibat kejadian itu, mangsa yang duduk di bahagian hadapan dipercayai tersepit dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohamad Mansor berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bentong sebelum dituntut ahli keluarga.
Katanya, suami mangsa pula patah tangan manakala tiga anak mereka hanya cedera ringan manakala pemandu pacuan empat roda pula cedera di bahagian kepala.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/isteri-maut-kereta-bertembung-1.187712
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment