Thursday, August 1, 2013

JPJ kenal pasti laluan kerap kemalangan di Penang


1 Ogos 2013
BUTTERWORTH 1 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan meletakkan anggotanya di lima laluan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan sepanjang tempoh ’Ops Selamat’ mulai hari ini hingga 18 Ogos, kata Pengarahnya, Datuk Hassan Yaccob.

Beliau berkata, langkah penguatkuasaan itu bertujuan memastikan pengguna jalan raya tidak melanggar peraturan dan sentiasa mematuhi undang-undang sedia ada selain membantu mengurangkan kadar kemalangan setiap kali tiba musim perayaan.

"Lima laluan yang dikenal pasti itu ialah di kilometer 26 Jalan Butterworth ke Ipoh (hadapan stesen penimbang (SP) Valdor), kilometer 12 Jalan Butterworth ke Sungai Petani (hadapan SP Penaga), dan Jalan Machang Bubuk (berdekatan Taman Machang Manis).

"Dua lagi laluan ialah di Jalan Sungai Dua, Seberang Perai Utara (SPU) dan Jalan Tun Sardon, Balik Pulau," katanya kepada pemberita sebelum membuat operasi penguatkuasaan JPJ sempena Hari Raya Aidilfitri di Terminal Bas Sementara Penang Sentral di sini hari ini.

Hassan berkata, seramai 180 orang anggota JPJ akan terlibat dengan semua operasi penguatkuasaan sepanjang tempoh sambutan Aidilfitri kali ini.

Selain itu, Hassan berkata, JPJ Pulau Pinang telah memeriksa sebanyak 221 buah bas ekspres untuk tempoh 23 hingga 31 Julai, di terminal bas sementara Penang Sentral, Butterworth.

"Pemeriksaan adalah menyeluruh daripada pemandu bas hinggalah buku log dan keadaan bas termasuk keadaan brek dan tayar," katanya.

Selain itu, Hassan turut menasihatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati ketika memandu serta patuhi peraturan ditetapkan. - BERNAMA

Sumber:
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130801/dn_45/JPJ-kenal-pasti-laluan-kerap-kelangan-di-PP



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount