loading...

Friday, August 2, 2013

Lima sekawan nyaris rentung dalam van

Lima sekawan nyaris maut apabila van yang dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba dalam satu kejadian di Jalan Tanjung Ipoh


2 Ogos 2013
TANJUNG IPOH – Lima sekawan nyaris maut apabila van yang dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba dalam satu kejadian di Jalan Tanjung Ipoh menghala ke Kuala Pilah, pagi semalam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mazalan Jantan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.08 pagi dari Balai Polis Tanjung Ipoh sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, van yang dinaiki lima sekawan itu sudah terbakar.

“Bila kami tiba di tempat kejadian jam 9.11 pagi, van tersebut sudah hampir 60 peratus terbakar. Bagaimanapun, kelima-lima mangsa sempat menyelamatkan diri dan tidak cedera.

“Jika lewat sedikit, berkemungkinan mangsa terperangkap ekoran sukar membuka pintu apabila api sedang marak. Bagaimanapun, Alhamdulillah, mereka semua selamat,” katanya.

Mazalan berkata, berdasarkan maklumat awal sebelum kejadian, pemandu van berkenaan terlanggar objek dipercayai besi di selekoh jalan berkenaan.

“Kemudian, salah seorang penumpang daripada mereka ternampak percikan api dari bawah van berkenaan lalu memberitahu pemandu van.

“Sejurus itu, pemandu van memberhentikan kenderaan di bahu jalan sebelum kesemua mereka bertindak keluar bagi mengelakkan terperangkap. Selepas itu, api semakin marak dan membakar van berkenaan hampir 93 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kebakaran itu berjaya dipadamkan dalam masa lima minit dengan kekuatan enam anggota dan sebuah jentera.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Bagaimanapun mangsa memberitahu terdapat dua komputer riba dan peralatan Telekom Malaysia hangus terbakar,” katanya.

Sementara itu, difahamkan kelima-lima mangsa hendak pergi ke Kuala Pilah bagi menghadiri mesyuarat.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lima-sekawan-nyaris-maut-1.189263




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my