loading...

Saturday, March 26, 2011

Berita Dari Akhbar 27 Mac 2011

Gambar hiasan

Langgar lari: Dua pelajar sekolah maut

KANGAR 26 Mac — Dua pelajar terbunuh dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal yang ditunggangi mereka dipercayai dirempuh kenderaan lain berhampiran simpang jalan Kampung Rama, Sanglang, dekat sini, malam tadi.

Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Supritendan Rosli Yahaya berkata, dalam kejadian kira-kira 9.20 malam, pembonceng motosikal itu, Mohd. Shawal Shahabudin, 15, mati di tempat kejadian manakala penunggang, Mohd. Hafizi Kassim, 17, meninggal dunia selepas tiga jam dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Beliau berkata, kejadian berlaku semasa kedua rakan karib itu yang sedang menghala ke Simpang Empat, dipercayai dilanggar kenderaan lain dari arah belakang.

Bagaimanapun, polis masih belum mengenal pasti kenderaan terbabit.

Rosli yang mengklasifikasikan kes itu sebagai langgar lari berkata, ketika kejadian kawasan berkenaan gelap tambahan pula ketika itu hujan lebat mengehadkan jarak penglihatan penunggang motosikal serta pemandu kenderaan.

Menurut Rosli, Mohd. Shawal patah tulang pinggul, manakala Mohd. Hafizi patah tangan kiri dan cedera parah di kepala.

Mayat kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang dituntut keluarga masing-masing di HTF sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sanglang, dekat sini hari ini.

Rosli meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Azly Supuandi di talian 04-9781079.

Beliau juga berharap pemandu kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu untuk membuat laporan di balai polis berhampiran. — BERNAMA




Langar Lari: 2 Maut dirempuh Lexus

BUTTERWORTH - Seorang penunggang motosikal dan pembocengnya mati di tempat kejadian apabila motosikal mereka dirempuh sebuah kenderaan berhampiran jambatan Tuanku Abdul Rahman menuju Jalan Chain Feri, di sini awal hari ini.

K. Paramguru, 28, dan M.Muthu@Muhammad Yasin Abdullah, 37, mati akibat cedera parah di kepala dan badan. Mayat mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata, kedua-dua lelaki itu dipercayai berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum dirempuh sebuah kenderaan pada pukul 2 pagi.

"Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Inderawasih sebelum tiba-tiba datang sebuah kereta dipercayai jenis Toyota Lexus merempuh mereka.

"Menurut saksi kejadian, pemandu kereta itu tidak memberhentikan kereta sebaliknya terus memecut meninggalkan tempat kejadian," katanya hari ini.

Azman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Azwan Kamaruddin di talian 04-5301977 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.






OKU dirempuh Lori 5 Tan

SEREMBAN – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut ketika dalam perjalanan pulang apabila dilanggar sebuah lori lima tan di Jalan Mambau-Port Dickson, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.50 malam berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Mambau, mangsa, K Gunalan, 25, menunggang motosikal bertembung dengan lori berkenaan daripada arah bertentangan, menyebabkan dia maut serta-merta.

Mangsa yang juga cacat di tangan mengalami kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Pemandu lori bermuatan kayu itu melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya di bahu jalan, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pringhill, Port Dickson, memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan lori terbabit yang datang daripada arah bertentangan.





Rempuh Rumah Dikejar Polis


JITRA - “Bunyi brek yang kuat sebelum disusuli dengan dentuman seperti guruh mengejutkan kami sekeluarga dari tidur pada malam kejadian sebaik kenderaan terbabit merempuh sebahagian rumah kami,” kata Norizan Mohd Noor, 40, yang mana rumahnya dirempuh sebuah kereta Proton Iswara.

Kejadian awal pagi kelmarin itu berlaku apabila kereta itu merempuh sebahagian rumah Norizan yang terletak kira-kira 25 meter dari selekoh Jalan Kelubi di Kampung Kelubi Luar dekat sini.

Norizan ketika ditemui berkata, dia yang ketika itu baru sahaja hendak melelapkan mata dikejutkan dengan bunyi seakan-akan guruh yang berdentum kuat pada bahagian hadapan rumahnya.

Menurutnya, sebaik bergegas ke arah luar bilik dia mendapati sebuah kereta merempuh rumahnya, namun pemandu itu berjaya melarikan diri.

“Saya tidak sempat melihat pemandu terbabit kerana dia sempat melarikan diri dan terkejut melihat terdapat sebuah kenderaan peronda polis di hadapan rumah saya pada ketika itu.

“Rupa-rupanya saya difahamkan polis, pemandu kereta itu dikejar polis kerana memandu dalam keadaan mencurigakan sebelum dia melarikan diri dengan memandu dengan laju melalui jalan itu sebelum merempuh rumah saya,” katanya.

Norizan yang juga peniaga makanan turut mengalami kerugian kira-kira RM4,000 termasuk kerosakan pada bahagian dinding rumahnya yang retak akibat rempuhan kuat pada bahagian pintu rumahnya itu.

Menurutnya, selain itu motosikal milik keluarganya yang diletakkan di luar rumah turut rosak akibat terkena rempuhan terbabit.

“Kejadian yang berlaku turut menjejaskan pendapatan saya kerana terpaksa menutup gerai makanan yang dijalankan di pekarangan rumah saya pada waktu pagi.

“Bagaimanapun mujurlah tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku kerana masing-masing berada dalam bilik tidur sewaktu kejadian berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kes itu.

“Polis mengekori kenderaan itu dari kawasan Asun kerana berada dalam keadaan mencurigakan dan selepas mendapati ia diekori, pemandu terbabit segera memecut dan memasuki Jalan Kelubi sebelum terbabas.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, kita mendapati dia membawa beberapa kotak minuman keras dalam but kenderaannya dan kini polis masih mencari pemandu yang melarikan diri itu untuk membantu siasatan,” kata Sawaludin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my