Thursday, September 22, 2011

Maut Pulang Dari Bertemu TPM

 KEMALANGAN menyebabkan dua ahli keluarga maut di Kilometer 23, 
Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Padang Pulut, semalam. Wan Zulkifli -Utusan

Inalillahi wainailaihi rojiun

DUNGUN 21 Sept. - Penduduk di Kampung Minda Pasir Raja tidak akan dapat mendengar lagi laungan azan daripada Yusof Daleng, apabila bilal masjid mereka itu terbunuh bersama bapanya dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Dungun-Bukit Besi di sini semalam.

Nahas berlaku berhampiran Kampung Padang Pulut pukul 5 petang apabila kereta Proton Saga yang dipandu mangsa bertembung dengan sebuah kereta Perodua MyVi yang dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Allahyarham Yusof, 40, yang juga tukang kebun sekolah, ketika itu bersama lima yang lain dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Parlimen Dungun sempena kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ORANG RAMAI melihat keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan 
hingga mengakibatkan Yusof dan Daleng maut di Dungun kelmarin; Mustapa Lakawa-kosmo


Mereka yang bersama dengan Allahyarham ialah bapanya, Daleng Hassan, 66, adik Allahyarham, Mohamad Zaid, 23; jirannya, Normadiah Mahmud, 43, bersama dua anaknya, Mohd. Ikrima Abd. Latif, 12, dan Mohd. Sabri, 10.

Yusof meninggal dunia di tempat kejadian manakala Daleng menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.40 malam tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Mohamad Zaid, Normadiah, Mohd.Ikrima dan Mohd. Sabri cedera parah.

Turut parah pemandu MyVi, Mohd. Nor Ehsan, 20, manakala rakannya, Badrul Hisham Ibrahim, 32, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Dahlan Mohd. Noor ketika dihubungi mengesahkan mengenai nahas itu.

Sementara itu, isteri Allahyarham Yusof, Hasnah Mat Kasim, 41, berkata, pagi semalam, suaminya memberitahu dia ingin menghadiri majlis itu untuk melihat lebih dekat Timbalan Perdana Menteri.

"Arwah kelihatan gembira selepas diberi pelepasan oleh guru besar sekolah tempat kami bekerja untuk menghadiri majlis itu.

"Dia turut mengajak saya namun saya terpaksa menolak kerana dua anak kami berusia 5 dan 10 tahun perlu dijaga," katanya yang turut berkerja sebagai tukang sapu di sekolah yang sama.

Menurut Hasnah, dia mempelawa dan membenarkan Normadiah teman sekerjanya bersama dua anaknya menumpang kereta suami ke majlis itu tetapi tidak menyangka bapa mertua serta adik iparnya turut serta.

Sumber: Utusan Malaysia
              Kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount