loading...

Monday, September 19, 2011

3 Jam ditemani Mayat Adik


Inalillahi wainailaihi rojiun


KUALA LUMPUR 18 Sept. - Seorang kontraktor terpaksa menahan kesakitan akibat patah kedua-dua belah kakinya selama tiga jam dengan ditemani mayat adiknya selepas tersepit dalam kemalangan di Sungai Buloh, dekat sini awal pagi ini.

Situasi itu terpaksa dilalui Mohd. Najib Mohd. Napis, 27, selepas kereta dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam empat meter di Kilometer 452.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dan gagal dilihat orang ramai.

Kemalangan yang mengorbankan adik Mohd. Najib iaitu Mohd. Nazmi, 24, dipercayai berlaku pada pukul 5 pagi.

Kereta Proton Satria dinaiki dua beradik itu yang dalam perjalanan dari Rembau hanya ditemui pada pukul 8 pagi oleh seorang pekerja tapak semaian dalam keadaan terbalik berdekatan kolam tapak berkenaan.

Abang mangsa, Mohd. Nasir berkata, kedua-dua adinya itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas beraya di rumah seorang rakan mereka di Rembau, Negeri Sembilan.

"Pada pukul 5.30 pagi ini, Mohd. Najib menghubungi saya dan dengan nada suara yang sedang menahan sakit dia memberitahu mereka tersepit dalam kemalangan di kawasan selepas Dengkil.

"Saya dan bapa kemudian bertolak ke kawasan berhampiran Dengkil untuk mencari mereka dan menghubungi pasukan keselamatan di lebuh raya untuk bertanyakan tentang kemalangan yang berlaku," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, ketika tiba di Damansara pada pukul 8 pagi, dia dihubungi oleh pihak lebuh raya yang memaklumkan penemuan sebuah kereta dan mangsa kemalangan.

Katanya, ketika dia dan bapanya tiba di lokasi kemalangan, mereka diberitahu oleh pasukan perubatan bahawa Mohd. Nazmi tidak dapat diselamatkan manakala Mohd. Najib masih sedarkan diri walaupun dalam keadaan kritikal.

Mohd. Najib kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan manakala mayat adiknya juga dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Menurut Mohd. Nasir, keluarganya kecewa kerana kawasan kemalangan tidak dipasang penghadang jalan walaupun kawasan itu berbukit.

Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Supritendan Azmi Mansor memberitahu, kedua-dua beradik itu terlibat dalam kemalangan selepas kereta dipandu Mohd. Najib terbabas dan terjatuh ke dalam gaung.

"Kejadian itu gagal dikesan kerana tiada kesan kemalangan di kawasan tersebut dan tiada pengguna lebuh raya yang melihat ia berlaku," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my