loading...

Monday, September 19, 2011

Terperosok Bawah Lori

 Inalillahi wainailaihi rojiun

KOTA BHARU- ”Bapa mengantuk lah along tetapi bapa kena pergi juga,” Itulah kata-kata terakhir seorang bapa kepada anaknya, Norsaidatul Hafiza, 20, sebelum dia maut dalam kemalangan di Batu 8, Kadok dekat sini, petang, kelmarin.

Norsaidatul hafiza, berkata, sebelum bapanya, Che Stopa Awang, 51, keluar rumah kira-kira jam 5 petang untuk ke tempat kerja di Gua Musang, bapanya mengadu mengantuk dan lapar.

”Selepas bapa saya mengadu mengantuk, saya ada melarang bapa saya supaya tidak pergi lagi ke tempat kerja kerana bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Menurutnya, selepas menikmati mee segera yang dimasak oleh ibunya Norizan Jaafar, 47, bapanya menunaikan solat Asar dan bertolak ke tempat kerja walaupun dia masih mengantuk.

”Bapa saya tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma pada kebiasaannya dia pergi bersama beberapa lagi rakannya tetapi semalam dia yang memakai kain pelekat dan nampak lebih kacak daripada biasa nekad memandu sendiri tanpa ditemani rakannya setelah dia menghubungi kawan-kawan-kawannya.

”Saya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh adik saya, Norshafiq, 19, sebaik menerima panggilan telefon daripada seorang anggota polis yang memberitahu berita buruk menimpa ayah saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Che Stopa maut di tempat kejadian apabila kereta yang dinaikinya dirempuh sebuah lori yang dipercayai mengelak sebuah kereta selepas memotong kenderaan terbabit.

Kejadian berlaku apabila lori terbabit yang datang dari arah Kuala Krai dikatakan cuba mengelak sebuah kereta secara tiba-tiba memotongnya sebelum memasuki laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, pemandu lori terbabit kemudian membrek sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda Accord yang dipandu Che Stopa.

Beliau berkata, lori terbabit yang sarat dengan muatan tanah kemudian menghempap kereta berkenaan sebelum terjunam ke dalam parit berdekatan.

Katanya, akibat perlanggaran itu, kereta mangsa juga turut terperosok bawah lori dan mangsa kemudian berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat selepas tersepit lebih sejam.

”Pada masa sama juga, kereta mangsa turut dihempap tiang elektrik yang tumbang akibat rempuhan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Azham berkata, mangsa yang bekerja sebagai tukang rumah dan berasal di Kampung Chat, Kok Keli, Tumpat, disahkan mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Katanya, dalam kejadian itu, pemandu lori terbabit hanya mengalami cedera ringan dan polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu untuk membantu siasatan.

”Siasatan awal mendapati, lori terbabit gagal mengawal kenderaannya kerana membrek dengan tiba-tiba untuk mengelak daripada sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang telah memotong dan memasuki laluan lori,” katanya yang menegaskan siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Azham berkata, polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mengetahui nombor pendaftaran kereta Perodua Kancil yang dipercayai melarikan diri supaya menghubungi segera balai polis berdekatan atau menerusi 09-7752200.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my