loading...
Thursday, February 14, 2013
Terperosok bawah bas
15 Februari 2013
BENTONG – Lena 40 penumpang bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur terganggu selepas bas dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 5 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian kemalangan melibatkan bas ekspres dan sebuah motosikal berlaku di Kilometer 8.5 Jalan Bentong-Raub di laluan menuruni bukit bergarisan kembar dekat sini.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, bas dua tingkat dinaiki 40 penumpang terbabit dipercayai bertembung dengan motosikal yang ditunggang oleh P Thangarajoo, 39.
“Motosikal yang dalam perjalanan dari arah Bentong ke Raub itu dipercayai terbabas sebelum masuk ke laluan bas dari arah bertentangan dan kemudian diseret ke laluan bersebelahan.
“Mangsa bersama motosikalnya terperosok di bahagian hadapan bawah bas serta terpaksa dikeluarkan dengan bantuan orang awam termasuk penumpang bas,” katanya.
Mohamad Mansor berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.
Menurutnya, bagaimanapun pada kira-kira jam 6.30 pagi hari sama, mangsa yang beralamat di Taman Raub Jaya itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Manakala pemandu bas dan 40 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian terbabit.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, cuaca berkabus dan jalan dipercayai licin,” katanya.
Mohamad Mansor berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/40-penumpang-bas-cemas-1.131415
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment