loading...

Friday, February 15, 2013

Pelajar berisiko kemalangan



16 Februari 2013
 PARIT BUNTAR - Lebih 150 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Mahat, dekat sini terpaksa bergadai nyawa ke sekolah berikutan kewujudan sebuah pasar pakaian di Jalan Sempadan, di sini menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas hingga ke pintu pagar sekolah.

Lebih membimbangkan, kesemua murid yang berjalan kaki dan menaiki basikal ke sekolah terpaksa menyusup di sebalik puluhan kenderaan melalui Jalan Sempadan, di sini pada setiap pagi Isnin dan Jumaat disebabkan kewujudan Pasar Kemboja sejak tahun 2009.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Profesor Dr Badorul Hisham Abu Bakar berkata, tindakan pengunjung dan peniaga meletakkan kenderaan mereka di sepanjang bahu jalan pada setiap hari Isnin dan Jumaat untuk berbelanja di Pasar Kemboja mengakibatkan jalan sesak sehingga menyukarkan waris menghantar anak mereka.

“Lebih merisaukan, tindakan peniaga memulakan operasi perniagaan seawal waktu subuh mengundang kehadiran pengunjung ke pasar itu pada awal pagi dan seterusnya menyebabkan kenderaan mereka dan peniaga diletakkan secara sesuka hati sehingga di hadapan pintu sekolah.

“Keadaan ini mengancam keselamatan keseluruhan 794 murid sekolah terutama pada waktu tengah hari setiap hari Jumaat di mana keadaan kesesakan kenderaan kadangkala berpanjangan sehingga lebih sekilometer apabila kawasan jalan itu menjadi kegunaan utama waris, pelajar dan pengunjung pada waktu puncak,” katanya sewaktu mengadakan sidang media di sini semalam.

Turut hadir Guru Besar SK Permatang Tok Mahat, Md Rijani Md Ibrahim dan Timbalan YDP PIBG sekolah, Zulkifli Mohd Yusoff.

Badorul Hisham menggesa pihak berkuasa tempatan mencari penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Menurutnya, pihaknya telah mengemukakan beberapa surat aduan kepada Majlis Daerah Kerian (MDK), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), polis Kerian dan Seberang Perai Selatan serta pegawai kedua-dua daerah itu bagi membolehkan masalah itu diberi perhatian segera.

“Berdasarkan maklum balas diterima, pihak polis telah mengambil tindakan dengan mengadakan operasi menyaman kenderaan yang diletakkan di bahu jalan, bagaimanapun langkah itu dilihat tidak berkesan.

“Malah, MDK dan MPSP turut menyatakan perkara ini sudah dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Tindakan Daerah masing-masing dan MDK bersetuju untuk memindahkan kesemua peniaga di Pasar Kemboja terbabit ke lokasi lain di Dataran Kerian Permai, di sini, selepas Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

“Namun, sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil dan kami menggesa pihak terlibat mengambil inisiatif segera bagi mengelakkan kemalangan jiwa berlaku melibatkan nyawa anak-anak kami,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dun Titi Serong, Abu Bakar Md Ali ketika dihubungi menegaskan pihaknya bersama MDK akan mengkaji semula penyelesaian terbaik.

Menurutnya, pihaknya mengakui sememangnya wujud cadangan asal untuk memindahkan pasar itu ke lokasi alternatif di Dataran Kerian Permai, di sini, tetapi idea itu dibantah peniaga-peniaga terlibat selain dikenal pasti tidak sesuai.

“Kami mungkin akan merangka perancangan terbaik untuk memastikan keadaan lalu lintas sewaktu waktu persekolahan dikawal rapi buat sementara waktu.

“Pada masa sama, kami sedang memastikan lokasi sesuai untuk memindahkan peniaga dari Pasar Kemboja yang dipersetujui mereka sendiri berikutan setiap keputusan yang dibuat perlu menjaga kepentingan semua pihak,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/pelajar-berisiko-kemalangan-1.131711


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my