Friday, February 15, 2013

Ibu mengandung nyaris maut



15 Februari 2013
BALING - Seorang ibu sarat mengandung nyaris maut dalam kemalangan di Kilometer 38.9 jalan Sungai Petani- Baling di sini, kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.

Mangsa berusia 22 tahun yang juga penumpang kereta selamat walaupun kenderaannya remuk akibat dirempuh oleh sebuah kereta lain dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, mangsa bersama suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Ketemba.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika suami mangsa yang juga pemandu kereta ingin membelok ke persimpangan jalan sebelum dirempuh dari arah belakang.

“Sebuah kereta dari arah yang sama dipercayai tidak dapat mengawal kenderaannya sebelum merempuh kenderaan mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pemandu yang merempuh kenderaan mangsa dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal dari arah tepi mengakibatkannya hilang kawalan.

“Pemandu dan penumpang bagi dua kenderaan yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan manakala mangsa yang hamil sembilan bulan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut,” katanya.

Difahamkan, pemandu dan penumpang bagi dua kenderaan terbabit merupakan pasangan suami isteri.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/ibu-mengandung-nyaris-maut-1.131449


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount