loading...

Tuesday, February 12, 2013

Kasut terakhir



Inalillahi wainailaihi rojiun

12 Februari 2013
TAMPIN - Seorang Pembantu Perubatan Klinik Kesihatan Gemas, maut selepas Proton Persona dipandunya terbabas sebelum terhumban ke anak sungai di Jalan Pondoi, Tebong, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Mohd Izwan Ismail, 27, dalam perjalanan ke tempat kerja dari kediaman mertuanya di Bandar Seri Sendayan.

Kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum merempuh pengadang jalan kemudian terseret ke dalam semak dan terhumban ke dalam anak sungai.

Menurut sumber, mangsa yang baru lima bulan bekerja di klinik kesihatan berkenaan, ditemui orang awam yang melalui jalan itu selepas terdengar bunyi radio dipasang kuat.

Jelasnya, mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dan orang awam menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

Tiba-tiba jadi pendiam, sering cakap pasal kemalangan

Adik bongsu mangsa, Zulaika Ismail, 17, berkata, abangnya yang juga anak tunggal lelaki itu seorang yang ceria, namun berubah sikap beberapa hari sebelum kejadian apabila gemar mendiamkan diri dan meluangkan lebih masa dengan anaknya.

Menurutnya, selain itu, sehari sebelum kejadian, arwah dan isteri, Siti Noorazeyan Mohd Safian, 27, mengajaknya dan sepupu bersama anak mereka, Muhammad Izzat, dua bulan, bersiar-siar di Kuala Lumpur.

“Semasa dalam perjalanan di sekitar Nilai, kami berselisih dengan sebuah kemalangan membabitkan kereta dan arwah tidak putus-putus bercakap tentang insiden itu hingga ditegur kakak ipar namun tidak diendahkannya.

“Arwah kelihatan lebih pendiam tidak seperti biasa, malah sempat belanja kami makan di sebuah pusat membeli belah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Tampin, semalam.

Zulaika berkata, lebih menyedihkan apabila kejadian itu berlaku ketika ibu bapa mereka, Ismail Hamzah, 57, dan Zunaidah Mustafa, 53, berada di Mekah mengerjakan umrah dan baru sahaja bertolak ke sana, Jumaat lalu.

Tambahnya, arwah sempat berpesan supaya dia belajar bersungguh-sungguh dan sempat membeli sepasang kasut untuk dirinya sendiri.

“Arwah tiba-tiba berseloroh mengatakan itulah kali terakhir dia membeli kasut, namun ketika itu saya langsung tidak berasa curiga,” katanya lagi.


Kereta mangsa terbalik

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Pegawai Bomba Kanan 2, Eslizan Nurhan Armin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.32 pagi dan bergegas ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati kereta mangsa dalam keadaan terbalik selepas terjunam ke dalam sungai yang jaraknya dengan jalan dianggarkan lebih 10 meter.

“Dengan kekuatan lima anggota, mayat mangsa yang ditemui lengkap berpakaian kerja dengan keadaan kakinya yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan dan dibawa ke bahu jalan dalam masa kira-kira 10 minit,” katanya, semalam.

Sinar Harian turut difahamkan, berdasarkan kondisi mayat, mangsa dipercayai terbabit nahas beberapa jam sebelum keretanya ditemui orang awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan kemalangan tersebut dan mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Tampin untuk bedah siasat.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kali-terakhir-abang-beli-kasut-1.130361


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my