loading...

Friday, November 16, 2012

Wanita Hamil ditimpa motosikal


16 November 2012
KEPALA BATAS: Tindakan terburu-buru seorang lelaki warga Myanmar keluar dari simpang tiga dekat Permatang Tok Gelam di sini, nyaris meragut nyawa penunggang motosikal wanita yang hamil enam bulan, petang kelmarin.

Berikutan kejadian itu, Norhidayati Hashim, 32, bimbang kandungannya terjejas kerana dia mendakwa turut ditimpa motosikalnya selepas berlanggar dengan motosikal ditunggang lelaki terbabit.


Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa seorang Pembantu Makmal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mutiara, Pulau Pinang menunggang motosikal Yamaha dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kuala Muda, dekat sini.

Sebaik tiba di tempat kejadian, lelaki Myanmar yang menunggang motosikal Honda Wave dari Teluk Air Tawar secara tiba-tiba keluar dari simpang dan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum berlaku perlanggaran.


Berikutan itu kedua-dua mangsa terjatuh, manakala Norhidayati ditimpa motosikal sendiri sebelum dibantu penduduk yang melihat kejadian.


Kebetulan adik Norhidayati, Norshafikah, 25, yang melalui jalan sama berhenti untuk melihat kemalangan itu sebelum terkejut sebaik mendapati kakaknya menjadi mangsa.

Norshafikah menenangkan kakaknya yang hampir pengsan sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan, manakala lelaki Myanmar terbabit berusia 50-an ditahan penduduk.


Menurut Norshafikah, kakaknya cedera di kaki kiri.

Sementara itu, lelaki Myanmar terbabit yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) mendakwa dia tidak nampak mangsa dari arah kanan kerana ada sebuah kereta di depannya yang juga mahu keluar dari simpang.


“Saya tidak nampak motosikal mangsa sebab pandangan terhalang oleh kereta lalu keluar dari simpang menyebabkan berlaku perlanggaran,” katanya.


Lelaki terbabit diserahkan kepada polis, tetapi enggan dihantar ke hospital walaupun mendakwa mengalami kesakitan di bahu kanan.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibuhamilditimpamotor/Article/index_html


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my