loading...

Tuesday, October 23, 2012

Buruh maut rempuh pokok



Inalillahi wainailaihi rojiun

24 Oktober 2012
 KULIM - Hasrat seorang lelaki berusia 52 tahun yang bekerja sebagai buruh untuk pulang ke rumahnya di Ayer Itam, Pulau Pinang tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal dinaiki merempuh pokok berhampiran Taman Machang Manis bersempadan Kulim-Bukit Mertajam kira-kira jam 12.30 pagi, kelmarin.

Saksi yang berada di tempat kejadian berkata, mangsa dipercayai menunggang motosikal dengan laju sebelum hilang kawalan lalu merempuh pokok di bahu jalan.

Menurutnya, akibat rempuhan itu, bahagian hadapan motosikal milik mangsa mengalami kerosakan teruk.

“Mangsa datang dari arah Kulim menuju ke Bukit Mertajam. Ketika saya sampai di tempat kejadian, mangsa masih hidup tetapi mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.

"Saya menghubungi ambulans dan meminta bantuan mereka supaya dapat memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa. Bagaimanapun kakitangan ambulans yang tiba di tempat kejadian sejurus kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Trafik Daerah Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob yang dihubungi mengesahkan kejadian dan menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika melalui jalan di sekitar Taman Machang Manis kerana sehingga kini beberapa
kemalangan maut dilaporkan berlaku.

Katanya, jalan di sekitar tempat kejadian berombak selain selekoh tajam dan ini mengakibatkan pemandu mudah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan atau merempuh kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

“Saya dapati jalan dari arah Air Merah menuju ke Taman Machang Manis membahayakan pengguna jalan raya. Ini adalah kerana jalan itu terlalu gelap dan berombak. Ini mengakibatkan pengguna jalan raya gagal mengawal kenderaan mereka sekiranya dipandu laju.

"Saya menasihatkan mereka yang menggunakan laluan itu supaya lebih berhati-hati dan memperlahankan kenderaan untuk memastikan keselamatan lebih terjamin,” katanya.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/buruh-maut-motosikal-ditunggang-rempuh-pokok-1.97688


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my