loading...

Thursday, September 13, 2012

Ancaman kepada pengguna jalan raya

13 September 2012

KUALA TERENGGANU - Mat rempit dalam kumpulan besar yang menunggang motosikal dengan aksi berbahaya, semakin menjadi-jadi kebelakangan ini sehingga menimbulkan ancaman kepada pengguna jalan raya di bandar raya ini, dan beberapa tempat di Terengganu.
  
Mereka biasanya menguasai jalan raya bermula petang Jumaat sehinggalah keesokan paginya mengambil kesempatan cuti hujung minggu di Terengganu.
  
Pengguna jalan raya terutama wanita meluahkan kerisauan mereka terhadap gejala itu ketika Bernama membuat tinjauan di sini. Mereka takut dengan gelagat mat rempit yang mengancam keselamatan serta nyawa pengguna jalan raya.
  
Pemandu wanita Lew I-Ling, 30, berkata perasaan bimbang bersarang dalam dirinya setiap kali ingin pulang ke rumah pada hujung minggu terutama ketika melalui kawasan bandar di sini berikutan ramai mat rempit yang terlalu berani melakukan aksi berbahaya di kawasan itu.
  
Katanya kedatangan mat rempit dalam kelompok yang besar di sepanjang jalan terutama di Jalan Batu Buruk, Durian Burung dan Pengadang Baru di sini amat membimbangkan.
  
"Mereka biasanya melakukan aktiviti berbahaya itu setiap hujung minggu. Ada masa saya terpaksa memberhentikan kereta untuk memberi laluan kepada mereka yang terlalu ramai.

"Ada yang menunggang berkumpulan lebih daripada 50 buah motosikal. Saya sangat tidak selesa dengan keadaan itu dan harap pihak berkuasa dapat memperketat penguatkuasaan bagi mengekang masalah itu," katanya.
  
Ada dalam kalangan mat rempit yang bertindak di luar dugaan seperti menunggang motosikal dari arah bertentangan semata-mata mencari keseronokan.
  
Lebih memburukkan keadaan, mat rempit itu semakin bersemangat ditambah dengan sokongan daripada orang ramai yang turut memberhentikan kenderaan mereka untuk menyaksikan aksi itu.
  
"Keadaan seperti ini bukan sahaja membahayakan keselamatan masyarakat tapi ia juga memberikan imej buruk kepada pelancong yang datang berkunjung," katanya.
  
Pengunjung dari Melaka, Nur Liyana Misran, 27, berkata beliau amat terkejut melihat terlalu ramai mat rempit di jalan raya tanpa menghiraukan keadaan sekeliling juga pengguna jalan raya yang lain.

Beliau yang pertama kali berkunjung ke Terengganu, terkilan melihat ramai golongan muda tidak kira lelaki atau perempuan menghabiskan masa dengan sia-sia meramaikan aktiviti  rempit itu.
  
"Perkara ini memberi imej negatif kepada Terengganu. Saya harap pihak berkuasa di sini dapat mengambil tindakan perlu mengatasi masalah ini. Selain penguatkuasaan, mungkin boleh tambah pusat riadah untuk golongan
muda ini," katanya.
  
Sementara itu seorang penduduk kampung di sini, Ishak Abdillah Ngah, 30, berkata kehadiran mat rempit di malam minggu mengganggu ketenteraman penduduk setempat.
  
Beliau berkata mereka melakukan aktiviti yang tidak berfaedah itu sehingga awal pagi, mengganggu orang kampung yang sedang tidur dengan menunggang laju dan enjin mengeluarkan bunyi bising.
  
"Mereka akan berlumba dan membuat aksi yang berbahaya sepanjang jalan dan jika dikejar polis, mereka akan lari memasuki dan bersembunyi di kampung-kampung berhampiran," katanya.
  
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata pihaknya akan terus meningkatkan penguatkuasaan terhadap kumpulan mat rempit ini dan melakukan operasi bersama beberapa agensi lain untuk membendung gejala ini. - Bernama



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my