loading...

Tuesday, January 24, 2012

Kenderaan Berat Tidak Dibenarkan Pada 21, 22, 28 dan 29 Januari

SHAH ALAM – Tanggapan bahawa kadar kemalangan lalu lintas meningkat secara ketara setiap kali musim perayaan tidak berasas, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Menurut, bermula Januari hingga November lalu, setiap hari mencatatkan purata 19 kematian akibat kemalangan.

Sebaliknya kata beliau, disebabkan tumpuan orang ramai ketika musim perayaan, maka sudah wujud persepsi bahawa kemalangan meningkat ketika sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya turut ditanya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu tetapi hakikatnya pada musim perayaan ataupun hari biasa, jumlah purata kematian akibat kemalangan adalah hampir sama.

“Apa yang ketara hanyalah laporan kemalangan itu dilaporkan media setiap hari semasa musim perayaan dan sepanjang operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian Online baru-baru ini.

Oleh itu, kata beliau, Ops Sikap ke-25 pada musim perayaan Tahun Baru Cina kali ini memberi tumpuan ke atas penunggang dan pembonceng motosikal kerana mereka yang paling ramai terkorban tahun lalu.

Kenderaan berat kecuali lori yang membawa makanan, dilarang menggunakan lebuh raya dan jalan persekutuan pada 21, 22, 28 dan 29 Januari ini untuk mengurangkan risiko kemalangan ke atas kenderaan-kenderaan kecil.

Penemuan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan (Miros) menunjukkan dua faktor utama menjadi punca kemalangan iaitu manusia dan kejuruteraan jalan itu sendiri. Laporan itu turut mendapati 80 peratus punca kemalangan adalah disebabkan oleh faktor manusia.

“Antara sikap pemandu itu sendiri yang ada kala membahayakan diri sendiri dan orang lain. Tidak kurang juga pemandu yang gagal menjangkakan tentang kelajuan kereta lain apabila memotong kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Ops Sikap ke-25 sempena sambutan Tahun Baru Cina mencatatkan 93 kematian setakat ini, setelah sembilan lagi maut dalam kemalangan di seluruh negara pada hari kelapan, semalam.

Laman web Polis Diraja Malaysia melaporkan enam kematian membabitkan penunggang motosikal dan tiga pengguna kereta.

Laporan itu juga menyebut jumlah kemalangan menurun kepada 973 kes semalam berbanding 1,161 pada hari sebelumnya.

Jalan bandaran kekal mencatatkan rekod kemalangan tertinggi dengan 310 kes, diikuti jalan persekutuan (302), jalan negeri (170), lebuh raya (124) dan 63 kes bagi jalan-jalan lain.

Sebanyak 17,736 saman dikeluarkan menjadikan jumlah terkumpul 138,574 saman membabitkan pelbagai kesalahan.

Ops Sikap kali ini akan berakhir pada 30 Januari ini.

Sumber:
sinarharian.com.my/nasional/menteri-tanggapan-kemalangan-naik-masa-perayaan-tak-benar-1.19895

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my