loading...

Tuesday, November 15, 2011

Warga Emas Maut Tersepit



IPOH – Seorang warga emas maut dalam satu nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan Kuala Kangsar) berhampiran Taman Tawas Gemilang di sini, kelmarin.


Dalam kemalangan pada jam 11.35 malam itu, Sukhminder Singh, 65, yang memandu kereta jenis Nissan Sunny, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superitendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, rempuhan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk teruk dan menyebabkan mangsa tersepit di bahagian pemandu.

“Mangsa dari arah Chemor menuju ke rumahnya di Taman Sri Aman dipercayai cuai membelok menyebabkan kenderaan dari arah bandar raya tidak sempat untuk mengelak. Kereta mangsa juga terseret beberapa meter dari tempat kejadian.

“Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Bagaimanapun, mangsa mati di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu Volvo berusia 49 tahun itu kemudian ditahan untuk soal siasat dan dilepaskan dengan jaminan polis, semalam.

“Pemandu berkenaan turut mengalami cedera ringan sebelum dihantar orang awam untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kampung Tawas berhampiran.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Sharuddin berkata, sebanyak 161 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan lima pemandu ditahan dalam Ops Samseng jalan Raya dan Ops Mabuk di dua lokasi di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

“Operasi selama tujuh jam itu dianggotai lebih 90 anggota termasuk 25 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dijalankan di Jalan Raja Musa Aziz dan Jalan Hospital.

“Lima pemandu ditahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my