loading...

Tuesday, November 15, 2011

Air Kopi Terakhir Untuk Suami


 Inalillahi wainailaihi rojiun

KUALA KANGSAR – “Saya tak sangka air kopi yang dibancuh isteri sebelum keluar rumah adalah air tangan terakhir isteri,” kata Mohd Mokhtar, 66, suami kepada mangsa maut kemalangan, Salmah Din, 55.


Mohd Mokhtar, ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Kuala Kangsar (HKK) berkata, dia masih lagi terkejut dan tidak menyangka kehilangan isteri dalam sekelip mata.

Menurutnya, pada pagi sebelum keluar rumah, isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan sempat membancuh air kopi sebagai sarapan pagi.

“Sejak kebelakangan ini saya lihat isteri saya sangat mesra dengan anak-anak walaupun hubungan mereka sebelum ini memang rapat tetapi saya tidak terfikir apa-apa.

“Sebelum keluar rumah, dia juga berpesan kepada saya supaya mengasah pisau getah kerana esok ingin keluar menoreh,” katanya.

Katanya, arwah isterinya turut menyatakan jika tidak menoreh tiada siapa mahu memberi duit kepada kami.

“Saya hanya tahu mengenai kemalangan ini ketika berada di hospital mengambil ubat setelah menerima panggilan daripada seorang rakan,” katanya.

Katanya, kematian isterinya yang meninggalkan 12 anak sepanjang perkongsian hidup mereka, amat dirasai tetapi dia terpaksa menerimanya dengan reda.

“Memang sangat sedih tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa selain berdoa dan selepas ini tiada lagi teman saya untuk keluar menoreh getah,” katanya.

Salmah bersama dua yang lain terkorban dalam satu nahas jalan raya melibatkan sebuah kereta dan motosikal di sebuah selekoh, di Kilometer 15 Jalan Kuala Kangsar menuju ke Manong, di sini, semalam.

Dua lagi mangsa yang terkorban merupakan pasangan suami isteri, Hassan Basri Itam Saidin, 57 dan Siti Yainung Sahang, 45.
Tiada sebarang perubahan

Salah seorang anak mangsa, Alang Mohd Mokhtar, 25, berkata, kehidupan mereka sekeluarga terasa kosong dengan pemergian Salmah.

“Kami adik-beradik memang rapat dengan emak dan terasa amat sedih serta kehilangan tetapi harus menerima kenyataan ini.

“Memang tiada langsung perubahan ditunjukkan emak sebelum kematian dan kami memang terkejut dengan kejadian tidak disangka-sangka ini,” katanya.

Mohon maaf sebelum pulang

Manakala, adik ipar kepada Hassan Basri, Alias Yahya, 60, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah suami isteri itu ketika mereka berkunjung ke rumah, kelmarin.

“Sewaktu kejadian, pasangan suami isteri ini dalam perjalanan untuk pulang ke Thailand dan mereka memang biasa menaiki motosikal untuk ke sana serta kadang-kadang menaiki bas.

“Semalam, mereka ada datang ke rumah untuk menjenguk isteri saya yang juga adik kepada mangsa kerana pada hari ini ingin pulang ke Thailand,” katanya.

Katanya, tiada sebarang perubahan ditonjolkan pasangan suami isteri itu dan hanya berbual seperi biasa.

“Tetapi saya sedikit pelik apabila Hassan memohon maaf kepada saya sebelum meninggalkan rumah.

“Saya sedikit terkejut apabila dia minta maaf kerana kebiasaannya kalau datang ke rumah dia tidak seperti itu,” katanya.
Kereta hilang kawalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, kereta yang dipandu Khairani Mohd Mokhtar, 18, yang juga anak kepada Salmah hilang kawalan sebelum terbabas merempuh tiang telefon sebelum merempuh motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri itu.

Menurutnya, akibat kecederaan teruk, dua daripada mangsa maut serta-merta di tempat kejadian, manakala Siti Yainung yang berasal dari Thailand meninggal ketika menerima rawatan di HKK.

“Difahamkan Salmah dan anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah di Pulai Ketior.

“ketika kereta yang dipandu anaknya tiba di tempat kejadian, kenderaan itu berpusing dan kemudiannya merempuh sebuah motosikal pasangan suami isteri itu dari arah bertentangan.

“Suami isteri itu dalam perjala­nan­ dari rumah, di Lempor Hilir menuju ke Kuala Kangsar,” katanya pada sidang media, di Pejabatnya, di sini, semalam.

Abdul Gaffar berkata, dua mangsa meninggal di tempat kejadian dan pembonceng meninggal di HKK, manakala pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan disyaki berlaku akibat pemandu hilang kawalan tetapi punca sebenar masih dalam siasatan.

“Kami masih lagi menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan hasil bedah siasatan juga mendapati kesemua mangsa yang meninggal disebabkan kecederaan serius di bahagian kepala,” katanya.

Al-Fatihah...

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my